Kerajaan disaran tangguh SPM - Utusan Malaysia

Kerajaan disaran tangguh SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes penularan Covid-19 sehingga paras 4,000 buat kali kedua kelmarin membimbangkan ibu bapa yang anak mereka akan menduduki peperiksaan awam 22 Februari ini.

Malah, situasi lebih ‘mencemaskan’ apabila 144 pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lipis yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan dikuarantin ekoran terdapat beberapa pelajar yang positif Covid-19.

Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias ), Mohamad Khairuddin Zahari berkata, kerajaan perlu membuat pertimbangan untuk menggantikan kaedah tertentu bagi kemasukan pelajar ke mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT).

“Calon yang mahu mendaftar ke pusat pengajian tinggi, kolej matrikulasi atau pusat asasi perlu mengambil ujian khas yang dibuat institusi mengikut kursus yang mahu diambil. Sebagai contoh, jika ada pelajar mahu teruskan dalam bidang perubatan, institusi akan buat soalan berdasarkan mata pelajaran berkaitan sains seperti Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan.

“Begitu juga dengan kursus lain. Jika mahu meneruskan pengajian dalam bidang keagamaan, institusi perlu sediakan ujian berkaitan seperti Bahasa Arab, Pengajian Islam atau lain-lain mata pelajaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Tambah Mohamad Khairuddin, kerajaan juga mungkin boleh menangguh peperiksaan SPM ke suku kedua 2021 bagi mengurangkan risiko penyebaran kes di sekolah.

Bagi Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Bahasa Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Alizah Lambri, langkah membatalkan atau menangguhkan SPM wajar dibuat selepas kurangnya persediaan calon SPM tahun ini ekoran aktiviti pembelajaran dan pengajaran serta dilihat tidak adil kepada pelajar yang berdepan kekangan.

“Walaupun ada pembelajaran dalam talian, kualiti pembelajaran yang diikuti tidak sama seperti pembelajaran bersemuka. Ini sememangnya mempengaruhi persediaan calon untuk menghadapi SPM.

“Malah, calon juga kurang bermotivasi untuk menghadapi peperiksaan kerana terpaksa belajar bersendirian. Itu belum lagi mereka yang ada kekangan lain seperti masalah keluarga dan tiadanya kemudahan jalur lebar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN