JOHOR BAHRU: Kesibukan trafik yang selalunya disebabkan kenderaan bertali arus melalui jalan-jalan utama di bandar raya ini tidak lagi kelihatan sejak awal pagi selepas hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hanya restoran yang menjadi tumpuan beberapa pengunjung untuk membungkus lauk-pauk manakala premis perniagaan lain ditutup.
Keadaan sunyi dan lengang turut menyelubungi Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Tun Abdul Razak yang menempatkan dua buah pusat beli-belah serta Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Sementara itu, seorang pengusaha pusat kecergasan di Taman Daya, Amin Razak, 33, turut akur untuk menutup operasi perniagaannya selama 14 hari bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Sebelum PKP dilaksanakan pun, kami sudah terjejas apabila pelanggan warga asing yang bekerja di sekitar sini tidak dapat hadir bersukan kerana mematuhi kawalan yang dikuatkuasakan kerajaan, tak tahu macam mana pula keadaan selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Pemilik Restoran G’Sinar, Azizan Che Harun, 39, berkata, dia hanya membuka perniagaan sehingga pukul 8 malam bagi perkhidmatan membungkus atau penghantaran kepada pelanggan.
“Sama seperti PKP pertama dahulu, kami hanya menjalankan perniagaan untuk membungkus jadi PKP kali ini kami lebih bersedia untuk melancarkan operasi agar setiap pesanan pelanggan dapat disediakan dengan baik,” ujarnya.
Pengasas Butik Rya Sophia Couture, Zuraidah Mohamed, 40, berkata, dia juga terpaksa menutup operasi butiknya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Johor Bahru City Center (JBCC).
“Apabila kerajaan umum PKP di enam negeri termasuk Johor, kami terpaksa akur demi memutuskan penularan pandemik Covid-19 walaupun orang baru mula nak berbelanja selepas dapat i-Sinar. Namun,kami akan meneruskan perniagaan secara dalam talian,” katanya. – UTUSAN










