MELAKA: Ketika hubungan UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) mula menjadi tanda tanya berikutan pelbagai isu politik semasa, sebaliknya pula yang berlaku bagi UMNO Bahagian Tangga Batu.
Ini kerana UMNO bahagian dan Pas kawasan itu sepakat melancarkan jentera MN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) dalam suasana yang menunjukkan hubungan kedua-dua parti itu tidak tergugat.
Dalam majlis pelancaran di Dataran Baitul Tariq, Klebang Permai, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Yang Dipertua Pas Kawasan, Bakri Jamaluddin bertukar-tukar bendera parti sambil disaksikan lebih 200 ahli parti sebagai simbolik pembentukan jentera menghadapi pilihan raya.
Pembentukan jentera bagi Parlimen Tangga Batu adalah yang pertama dibuat ketika hubungan kedua-dua parti berkenaan di beberapa negeri mula diperkatakan ketika ini.
Mohamad Ali ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, hubungan UMNO dan Pas di Parlimen tersebut tidak bergolak sejak kedua-dua parti itu mengisytiharkan pembentukan MN pada 14 Disember tahun lalu yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia.
“Ketika ramai pemerhati politik melihat hubungan dalam MN semakin menunjukkan kepada perpecahan namun kami tidak peduli apa yang terjadi di peringkat pusat malah kami bersepakat untuk bekerjasama apabila Parlimen dibubarkan nanti,” ujarnya.
Beliau berkata, melalui jentera yang dilancarkan itu, jawatan kuasa bilik gerakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) telah ditubuhkan di empat DUN iaitu di Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang dan Sungai Udang.
Jelasnya, pada setiap DUN akan ditempatkan 11 ahli UMNO dan Pas bagi membentuk satu jawatan kuasa yang dapat memastikan MN merampas kembali kerusi yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) kalah di DUN Paya Rumput dan Klebang serta Parlimen Tangga Batu.
Sementara itu, Bakri berkata, pelancaran bersama PRU-15 itu membuktikan kedua-dua parti tersebut tetap kukuh sejak awal-awal pembentukan MN tahun lalu.
“Titik persamaan UMNO dan Pas telah berjaya meletakkan asas penting dalam Perlembagaan Malaysia iaitu kedudukan Islam, hak agama lain, bumiputera, bahasa kebangsaan dan hak bermasyarakat majmuk.
“Kita akan terus memperjuangkan MN sebagai persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum yang mungkin diadakan tidak lama lagi,” ujarnya. – UTUSAN










