Lesen ketum boleh diwujudkan untuk sektor perubatan  - Utusan Malaysia

Lesen ketum boleh diwujudkan untuk sektor perubatan 

LADANG ketum di sebuah kampung di Padang Terap, Kedah. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lesen penanaman ketum boleh diwujudkan sekiranya ada permintaan dan melalui proses yang betul iaitu menerusi  penggubalan rang undang-undang yang tepat.

Pensyarah Jabatan Kimia, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Taufik Yap Yun Hin berkata, saranan tersebut boleh dilaksanakan sekiranya ada permintaan terutama dalam sektor perubatan.

“Jika lesen diberikan kepada mereka menjual secara tempatan, ia hanya mengundang permasalahan lain dan seolah-olah ‘penjualan dadah secara halal’,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, kerajaan negeri Kedah disaran memperkenal lesen tanaman ketum kepada pengusaha tanaman tersebut untuk mengawal aktiviti penanaman, penyeludupan dan penyalahgunaan daun itu.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan berkata, lesen tanaman ketum itu boleh dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan kepada penduduk yang berminat menanam pokok tersebut.

Katanya, menerusi lesen tersebut, kerajaan dapat memantau tanaman berkenaan termasuk mengenal pasti keluasan tanaman ketum dan mereka yang mengusahakannya.

Menurut Nuarrual, sekiranya ada industri perubatan yang ingin berkerjasama atau  membeli hasil tanaman untuk tujuan penghasilan ubat-ubatan, ia sangat dipersetujui, namun, jika sebaliknya ia hanya membawa kepada masalah yang lain di negara ini.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang pula berkata, cadangan berkenaan hanya boleh dilaksanakan melalui satu Rang Undang-Undang khas bagi tumbuhan psiko-aktif.

“Ada usaha tahun lalu untuk memasukkan hal ini di dalam Rang Undang-Undang Racun Pindaan 2019, namun, ia ditarik balik oleh kerajaan dalam sesi Parlimen terkini,” katanya.

Tambahnya, saranan pengeluaran lesen penanaman ketum mungkin boleh dimasukkan semula bagi sesi Parlimen sekarang atau tahun depan.

Menurutnya, satu lagi alternatif adalah dengan membuat satu undang-undang khas bagi tumbuh-tumbuhan psiko-aktif seperti ketum  dibenarkan di Malaysia. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya