Kerajaan disaran perkenalkan lesen tanaman ketum di Kedah - Utusan Malaysia

Kerajaan disaran perkenalkan lesen tanaman ketum di Kedah

DAUN pokok ketum matang yang dijumpai dalam Op Benteng di sempadan Malaysia-Thailand. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri disaran memperkenalkan lesen tanaman ketum kepada pengusaha tanaman tersebut untuk mengawal aktiviti penanaman, penyeludupan dan penyalahgunaan daun itu .

Pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Prof. Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan berkata, lesen tanaman ketum itu boleh dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan kepada penduduk yang berminat menanam pokok tersebut.

Katanya, menerusi lesen tersebut, kerajaan dapat memantau tanaman termasuk mengenal pasti keluasan tanaman ketum dan mereka yang mengusahakannya.

“Pengusaha tanaman ketum yang memiliki lesen itu perlu mengemas kini laporan jumlah pokok yang ditanam dan hasil jualan serta pemborong yang membeli daun ketum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalami.

Utusan Malaysia pada 19 Oktober lalu melaporkan polis Kedah akan mengesyorkan kepada kerajaan negeri supaya melarang penduduknya menanam pokok ketum dalam usaha mengekang penyalahgunaan tumbuhan tersebut.

Sementara itu, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor ketika mengulas laporan itu pula berkata, kerajaan negeri bersedia mendengar dan menilai syor polis supaya melarang penanaman pokok ketum di tanah milik penduduk di negeri ini.

Selain itu, Nuarrual Hilal berkata, kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap penduduk yang menanam ketum tanpa lesen, selain memusnahkan tanaman tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju sekiranya kerajaan mengambil tindakan drastik dengan melarang dan memusnahkan pokok ketum yang ditanam di negeri ini.

Ini kerana, katanya, beliau difahamkan pokok ketum mempunyai banyak khasiat dalam bidang perubatan sejak turun-temurun.

“Pada masa ini, orang ramai didapati menyalahgunakan daun ketum sehingga ketagih dan menjejaskan kesihatan terutamanya golongan muda,,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN