Dua ujian penembusan elak sistem perbankan digodam - Utusan Malaysia

Dua ujian penembusan elak sistem perbankan digodam

Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem keselamatan perbankan dalam negara melalui dua ujian penembusan setiap tahun bagi mengelak daripada digodam pihak tertentu.

Bercakap dengan Utusan Malaysia, bekas Presiden Persatuan Perbankan Islam Malaysia, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, menggodam sistem perbankan negara adalah satu perkara yang sukar dicapai.

Sehubungan itu beliau menafikan dakwaan bekas penggodam, Aman Shah Ahmad seperti dilaporkan Mingguan Malaysia baru-baru ini mengenai kelemahan sistem keselamatan bank di negara ini dan wujudnya kelompongan.

“Menggodam sistem perbankan negara bagi mendapatkan wang ringgit bukan semudah yang digambarkan dan ia sebenarnya satu perkara yang sukar,” katanya.

Baru-baru ini, bekas penggodam, Aman Shah Ahmad mendakwa sesetengah bank di Malaysia menggunakan program bersikap terbuka (open source) kerana mahu menjimatkan kos tetapi berisiko untuk digodam.

Mohd. Redza Shah mengatakan, sistem keselamatan perbankan mempunyai lebih daripada satu Firewall demi keselamatan semua pemegang akaun dan ia ibarat mempunyai beberapa pagar masuk sebelum boleh menceroboh.

Sementara itu, DI TAPAH, Bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar berkata, sistem keselamatan perbankan perlu sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan digodam sekali gus mengurangkan risiko kerugian.

Ini kerana katanya, ketika ini tiada sistem keselamatan yang benar-benar kalis dipintas disebabkan pihak penggodam akan cuba menguji kebolehan mereka.

Beliau yang menerajui pasukan polis selama 20 tahun berkata, pihak bank perlu sentiasa memperbaiki dan memperkemas sistem keselamatan masing-masing lebih kerap selain mengujinya.

“Pihak bank juga perlu meningkatkan sistem keselamatan kepada teknologi terkini kerana tiada sistem yang benar-benar selamat selama-lamanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Lawatan Kebajikan Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am di sini semalam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN