Perkeso komited bantu petugas hilang pekerjaan - Utusan Malaysia

Perkeso komited bantu petugas hilang pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersedia membantu kakitangan beberapa syarikat penerbangan tempatan yang diberhentikan daripada industri berkenaan.

Menerusi kenyataan agensi itu, faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) ditawarkan yang sedia menyediakan perlindungan kepada pekerja hilang pekerjaan.

Ia merupakan penggantian pendapatan di bawah Elaun Mencari Pekerjaan untuk tempoh dari sebulan hingga enam bulan selain dibantu melalui Program Penempatan Pekerjaan Semula.

“Untuk meningkatkan kebolehpasaran, Perkeso turut menyediakan Latihan Vokasional dan Kemahiran bagi mengukuhkan kepakaran dan pengetahuan mereka,” jelasnya hari ini.

Kursus berkenaan dibiayai oleh Perkeso sehingga kos RM4,000 manakala peserta akan menerima elaun latihan RM10 hingga RM20 sehari untuk tempoh maksimum enam bulan.

Perkeso juga menyalurkan bantuan kerajaan melalui inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja menerusi MYFutureJobs.

Skim itu turut menyediakan latihan kemahiran dan peningkatan kemahiran, malahan pihak majikan  boleh menghantar pekerja untuk menjalani kursus ditawarkan ini secara percuma.

“Seperti kebiasaan, Perkeso mengambil tindakan proaktif dalam menyalurkan bantuan kepada pekerja walaupun mereka belum mengemukakan permohonan,” kata kenyataan itu.

Bahkan, Perkeso telah melaksanakan program temuduga terbuka secara maya pada 22 dan 23 Oktober lalu meskipun pekerja terbabit belum serah borang untuk memohon faedah SIP.

Matlamat Perkeso ujar kenyataan itu, adalah untuk memastkan segala bantuan yang ada, boleh disalurkan dengan kadar segera berikutan banyak kes pekerja yang dibuang kerja.

Berdasarkan statistik agensi itu sehingga 28 Oktober lalu, seramai 90,740 kes disahkan hilang pekerjaan dilaporkan kepada SIP Perkeso bagi permohonan pelbagai faedah di bawahnya.

“Dalam tempoh sama, sejumlah 33,341 kes Orang Berinsurans di bawah SIP telah kembali bekerja menerusi program penempatan semula Perkeso dan portal MYFutureJobs,” katanya.

 Ini menjadikan bilangan keseluruhan kes berjaya dapat pekerjaan baharu termasuk di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja Penjana diuruskan Perkeso ialah 102,025 kes.

Bagi mereka terlibat dalam pemberhentian kerja sama ada Skim Pemisahan Sukarela VSS atau MSS dan sebagainya, dinasihatkan agar segera melayari laman sesawang Perkeso.

Segala maklumat terperinci berhubung faedah SIP atau Penjana selain tatacara permohonan ada di situ di samping mereka boleh menghubungi nombor careline Perkeso 1-300-22-8000. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya