ALOR SETAR: Pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman di negeri ini kecewa apabila tidak dapat mengikuti sepenuhnya pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) secara dalam talian berikutan capaian internet yang kurang memuaskan.
Mereka mendakwa sering ketinggalan dalam beberapa siri PDPR kerana capaian internet lemah terutamanya ketika hujan.
Seorang pelajar, Muhammad Arissyafiq Mohamad Arishan, 17, dari Kampung Barokhas di sini berkata, capaian internet di kawasan kampungnya lemah dan dia selalu tidak dapat mengikuti PDPR secara dalam talian pada waktu-waktu tertentu.
Menurutnya, dia yang merupakan pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar kecewa kerana sering ketinggalan PDPR dalam talian berbanding rakan-rakannya yang tinggal di kawasan bandar.
“Saya terpaksa keluar dari kawasan rumah ke kawasan yang mempunyai capaian internet yang baik seperti di sebuah stesen minyak berdekatan.
“Kalau boleh saya tidak mahu ketinggalan dalam PDPR kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi,” katanya.
Pelajar, Luqman Hakim Mad Isa, 17, dari Kampung Jelutong, Kuala Nerang di sini pula berkata, langkah pihak sekolah untuk memperkenalkan kelas dalam talian dialu-alukan agar pelajar-pelajar tidak ketinggalan sepanjang cuti persekolahan kerana penularan Covid-19.
“Bagaimanapun, tidak semua pelajar dapat mengikuti kelas dalam talian itu terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Walaupun di rumah saya mempunyai kemudahan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) namun sering menghadapi masalah capaian internet yang lemah sehingga mengganggu saya mengikuti kelas dalam talian,” katanya yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Ahmad, Kuala Nerang di sini.
Teoh Jia Qing, 19, dari Taman Bersatu, Kuala Nerang berkata, dia bersimpati dengan beberapa rakannya yang tinggal di beberapa kampung di kawasan pedalaman tidak dapat mengikuti kelas dalam talian disebabkan capaian internet yang lemah.
“Ramai kawan saya di Kampung Kubu, Kampung Bukit dan Kampung Naiteh yang tidak ada kemudahan internet yang baik,” katanya yang juga belajar di SMK Dato’ Syed Ahmad, Kuala Nerang.
Sementara itu, pelajar, Azimi Haikal Mohd. Hassan dari SMK Bongor, Baling pula berkata, capaian internet di kampungnya, Padang Che Mas sering terputus-putus dan dia sering gagal mengikuti PDPR dalam talian sepenuhnya.
Muhammad Ikhwan Azmi dari Kampung Dalam Wang, Baling pula berkata, dia lega apabila guru-guru di SMK Baling memahami masalah kegagalan pelajar untuk mengikuti kelas dalam talian kerana masalah internet.
Pelajar, Ahmad Adam Mohd. Fadzli Hadzrim, 15, dari SMK Siong berkata, kebanyakan pelajar di sekolah ini didapati gagal mengikuti kelas dalam talian kerana di beberapa buah kampung di sekitar sekolah itu mempunyai masalah capai internet yang lemah. – UTUSAN










