KUALA LUMPUR: Jangkitan Covid-19 di tapak pembinaan yang mewujudkan kluster baharu khususnya dalam kalangan buruh asing, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat tempatan yang berada di kawasan persekitarannya.
Terbaharu, kemunculan Kluster Tapak Bina Damanlela di Pusat Bandar Damansara di sini yang mencatatkan 460 kes pada 15 November lalu dan semalam kes masih di tahap membimbangkan iaitu 385 kes baharu.
Keadaan itu turut menyebabkan para peniaga dan golongan pekerja di sekitar tapak tersebut mulai ketakutan.
Pada 14 November lalu, Kuala Lumpur hanya mencatatkan 17 kes baru dan ekoran kluster tersebut, angka positif Covid-19 meningkat secara mendadak lebih 400 peratus.
Sementara itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam satu kenyataan menjelaskan, kenaikan mendadak kes Covid-19 di kawasan pembinaan itu berpunca daripada pekerja binaan di bawah subkontraktor yang berpindah dari satu tapak pembinaan ke tapak lain.
Sehingga semalam, terdapat dua kluster yang telah dikenal pasti iaitu, Damanlela dan Rumah WIP Setapak membabitkan 714 pekerja asing dan enam pekerja tempatan.
Daripada kedua-dua kluster berkenaan, kes paling banyak direkodkan adalah kluster Damanlela kerana pekerja binaan yang digunakan sering bertukar dari satu projek pembinaan ke projek pembinaan yang lain.
Tambah kenyataan itu, kegagalan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan akan menyebabkan syarikat kontraktor terbabit mengalami kerugian sekiranya berlaku penularan kes Covid-19 di tapak pembinaan berkenaan.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa peniaga mengadu rasa takut untuk berniaga di situ malah perniagaan mereka terjejas teruk akibat kluster tersebut.
Peniaga makanan, Jamal Jamil, 61, berkata, dia yang mula berniaga sejak tiga tahun lepas bimbang dengan kewujudan kluster berkenaan kerana kebanyakan pekerja binaan di situ membeli kuih yang dijual di gerainya.
“Bukan sahaja pekerja binaan, kami yang berniaga berhampiran juga sedang menunggu panggilan Kementerian Kesihatan untuk membuat ujian saringan,” katanya.
Menurutnya, dia melihat lebih 20 buah bas ke kawasan tapak binaan itu untuk mengambil pekerja asing bagi menjalani ujian saringan dan proses nyah cemar telah dilakukan.
“Jika saya dan peniaga lain pun kena kuarantin, terpaksalah kami ‘bercuti’ berniaga,” katanya.
Perkara sama dikongsi peniaga nasi berlauk, Rohana Ghazali, 30, yang bimbang untuk terus berniaga di kawasan sekitar tapak binaan tersebut.
“Saya berniaga di sini sejak empat tahun lepas dan hanya ini sumber pendapatan saya, jadi apabila timbul kluster terbesar sebegini, pastinya amat menakutkan kami para peniaga.” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan memperketatkan pemantauan kesemua 1.7 juta pekerja asing di negara ini bagi memastikan tidak ada penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka.
Katanya, ini termasuk sama ada kesemua mereka diwajibkan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 selain menyekat pergerakan mereka ke tempat-tempat awam.
Menurut beliau, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci oleh Kementerian Sumber Manusia untuk melihat isu-isu yang berbangkit jika pelaksanaan cadangan tersebut dibuat.
Beliau menjelaskan, pada masa ini, kerajaan mewajibkan pekerja sektor pembinaan dan pengawal keselamatan untuk membuat ujian saringan memandangkan terdapat kes positif melibatkan sektor itu.
“Kementerian Sumber Manusia akan melihat secara menyeluruh untuk mewajibkan ujian saringan kesemua pekerja asing, adakah makmal berkemampuan untuk menampung ujian, selain isu kos yang akan ditanggung.
“Saya difahamkan lebih kurang sejuta pekerja asing adalah pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perkeso ada memberikan subsidi, tetapi bagaimana pula baki pekerja asing yang tidak mencarum, siapa nak bayar kos itu,” katanya dalam sidang akhbar semalam..
Selain itu, kata beliau, turut akan diteliti kewajaran untuk melaksanakan perintah berkurung di asrama pekerja sedangkan tidak semua pekerja asing berada di satu tempat kerana ada yang tinggal berselerak seperti di rumah-rumah sewa.
Katanya, kebimbangan terhadap pekerja asing yang tinggal sehingga 30 orang dalam satu rumah juga membahayakan bagaimana untuk memastikan pekerja asing tidak menularkan penyakit dalam komuniti. – UTUSAN










