Jangan ulangi kesilapan sekatan perdagangan - Utusan Malaysia

Jangan ulangi kesilapan sekatan perdagangan

Jacinda Ardern (kiri) dan Presiden Microsoft, Brad Smith membincangkan isu semasa dalam Dialog CEO APEC 2020 semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: New Zealand mengingatkan semua pemimpin negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk tidak mengulangi kesilapan terdahulu dengan melaksanakan dasar sekatan perdagangan.

Negara anggota APEC perlu bersetuju dengan visi baharu Asia Pasifik untuk membimbing kerja dalam jangka masa 20 tahun akan datang yang berfokus kepada tiga komponen pertumbuhan ekonomi utama iaitu perdagangan, digital serta kemampanan dan keterangkuman.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata, sektor perdagangan telah menjadi pertumbuhan dan kesejahteraan di rantau ini sejak penubuhan APEC 30 tahun lalu.

“Semua negara anggota APEC perlu terus komited memastikan pasaran yang sentiasa terbuka dengan perdagangan bebas keluar dan masuk,” katanya semasa ucapan pembukaan sesi Dialog CEO APEC 2020 secara maya bertajuk ‘APEC Dibayangkan Semula’ di sini semalam.

Dasar perlindungan merujuk kepada sekatan perdagangan antarabangsa oleh sesebuah negara untuk membantu industri domestik seperti pengimportan kuota, cukai tarif dan subsidi kerajaan.

Sekatan tersebut biasanya dilakukan dengan tujuan meningkatkan aktiviti ekonomi selain keselamatan dan kualiti sesuatu produk.

Ardern berkata, mengambil contoh pendekatan yang telah diambil negara itu dengan mewujudkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital dengan Chile dan Singapura yang membantu pengeksport serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), semua ekonomi perlu membuat pilihan yang betul bagi memastikan rakyat boleh berhubung, mempunyai kemahiran yang tepat untuk berjaya dalam dunia digital.

Pihaknya komited menjadikan New Zealand sebagai negara yang benar-benar digital kerana beliau percaya, sebuah ekonomi yang berjaya menerima pakai teknologi digital dan inovasi akan menjadi peneraju abad ke-21.

“Ekonomi juga perlu mempunyai kerangka kerja yang tepat berada di tempatnya bagi menyokong perdagangan dan persaingan,” katanya.

Mengulas berkenaan rancangan masa depan, Ardern berkata, terdapat dua rancangan yang sudah dirangka iaitu aspek kesihatan di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19 dan memacu pertumbuhan serta pemulihan ekonomi menjadi lebih baik.

“Pilihan yang ada sekarang ini adalah bagaimana kita cuba untuk pulih daripada krisis ini untuk kesejahteraan masyarakat dunia pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN