KUALA LUMPUR: Pekerja yang tidak mendapat upah atau pemotongan gaji ketika bekerja dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh mengadu kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pekerja boleh mengemukakan aduan secara temu janji di pejabatnya selepas 27 Oktober ini setelah mendapati majikan mengambil tindakan memotong gaji pekerja.
Jelasnya, MTUC akan memanjangkan perkara tersebut ke Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan menilai isu tersebut di bawah Seksyen 18, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kerja 1955.
“MTUC akan meneliti perkara ini untuk mempertikaikan tindakan sesebuah syarikat sama ada adil atau tidak mengikut peruntukan dalam akta dan juga arahan daripada kerajaan.
“Saya juga ingin menasihatkan pekerja boleh menghantar emel aduan kepada MTUC atau datang ke pejabat dengan membawa segala dokumen yang berkaitan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian dan penegasan kerajaan kepada para majikan di negara ini yang mungkin mengambil keputusan memotong gaji pekerjanya susulan perintah bekerja dari rumah sepanjang PKPB.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengingatkan majikan untuk tidak mengambil kesempatan memotong gaji pekerja mereka yang dikehendaki bekerja dari rumah.
Katanya, pelaksanaan PKPB bukan alasan untuk majikan berhak melakukan apa sahaja terhadap pekerja kerana hak pekerja terjamin dalam Akta Kerja 1955.
Malah katanya, meskipun wajib bekerja dari rumah, pembayaran gaji tidak akan berubah dan majikan tidak boleh memaksa atau mengarahkan pekerja menggunakan cuti tahunan ataupun mengambil cuti tanpa gaji.
Mengulas berkenaan cuti tanpa gaji yang mungkin dikenakan sesebuah syarikat terhadap pekerja, Abdul Halim memperbetulkan salah faham yang mungkin berlegar dalam fikiran sesetengah pihak.
Jelasnya, penggunaan cuti tahunan tanpa gaji adalah tidak dibenarkan dalam konteks PKPB kerana ia merupakan arahan daripada kerajaan untuk menangani kes jangkitan Covid-19 yang berada pada tahap membimbangkan. – UTUSAN










