KUALA LUMPUR: Guna ejen cari pelanggan dalam kalangan orang kenamaan (VIP) untuk `jual tubuh’ dengan bayaran minimum RM4,500 untuk dua jam.
Itu aktiviti segelintir instafamous tempatan yang sanggup `jual tubuh’ bagi menampung gaya hidup mewah mereka.
Modus operandi golongan itu adalah mencari VIP kerana mereka mampu memberi bayaran mahal bagi memenuhi nafsu.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, ejen-ejen akan `mempromosikan’ instafamous yang sedia untuk menggadai maruah dan bayaran akan digandakan jika mereka rela melayan lebih daripada masa yang dijanjikan.
“Dengan harga RM4,500, instafamous perlu ‘melayan’ pelanggan dalam tempoh dua jam di lokasi dipilih VIP tersebut.
“Pembayaran dimasukkan ke akaun milik ejen sebelum diserahkan kepada instafamous mengikut pembahagian.
“Bagaimanapun, ada juga pembayaran dibuat secara tunai terus kepada ejen atau instafamous,” kata sumber itu di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata sumber, perkara itu terbongkar rentetan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Macau Scam baru-baru ini yang turut mendapati ada kalangan instafamous dipercayai ‘bersekongkol’ dengan orang kanan Goh Leong Yeong atau Alvin.
Orang kanan Alvin yang menggunakan ‘gelaran’ Datuk palsu itu masih ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
Dedah sumber itu, peranan instafamous terlibat ialah membuka perniagaan dengan menggunakan duit hasil daripada aktiviti haram yang dijalankan suspek yang pernah disiasat SPRM bagi ‘mencuci duit’ tersebut.
Sehubungan itu, kata sumber, sebanyak lima intafamous termasuk dua adik-beradik dipanggil SPRM semalam susulan sebahagian aset dimiliki mereka dipercayai hasil daripada aktiviti ‘mencuci’ wang haram.
“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada SPRM menyita atau merampas sebarang aset daripada mereka memandangkan siasatan masih dijalankan.
“Malah, rumah sewa didiami dua beradik itu di Kuala Lumpur digeledah namun tiada bukti ditemukan tetapi siasatan masih dilakukan,” katanya.
Tambah sumber itu, pendedahan yang dibuat Mingguan Malaysia baru-baru ini mengenai skandal seks artis yang meraih RM20,000 hingga RM40,000 adalah modal untuk mereka memulakan perniagaan hasil kegiatan melacur.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, pelakon, pengacara popular dan usahawan terkenal antara 10 selebriti dalam senarai terkini SPRM yang akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung penipuan Macau Scam serta judi dalam talian.
Rabu lalu, sembilan instafamous termasuk dua lelaki diambil keterangan oleh SPRM selepas hampir dua minggu tempoh diberikan agensi tersebut untuk mereka tampil secara sukarela.
Pada 18 Oktober lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan mengenai kehidupan mewah golongan artis dan instafamous tempatan kerana dipercayai terlibat dalam skandal seks satu malam.
Laporan itu mendedahkan, aktiviti tersebut berkemungkinan telah lama berlaku dan mereka yang terlibat sanggup menggadai maruah demi meraih duit segera mencecah puluhan ribu ringgit untuk satu malam.
Hasil kegiatan ini, mereka terlibat mampu meraih duit mewah dengan menerima bayaran antara RM20,000 sehingga RM40,000 untuk satu malam. – UTUSAN










