Utem sertai 14 IPTA masuk ranking pendidikan dunia - Utusan Malaysia

Utem sertai 14 IPTA masuk ranking pendidikan dunia

SENARAI universiti di Malaysia termasuk Utem yang disenaraikan dalam ranking Times Higher Education (THE) World University Rankings 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Buat julung kalinya, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) disenaraikan dalam penarafan bertaraf dunia Times Higher Education (THE) World University Rankings 2021 yang diumumkan baru-baru ini.

Dalam senarai tersebut, Utem bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) merupakan dua universiti terbaharu menyertai 13 lagi universiti awam lain termasuk Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Utara Malaysia di pentas itu.   

Naib Canselornya, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, Utem disenaraikan pada kedudukan 1,000 hingga 1,527 iaitu sama dengan Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Multimedia dan Universiti Teknologi Mara di peringkat dunia.

Menurutnya, penarafan THE itu berteraskan kepada penilaian yang berfokus kepada lima bidang utama sesebuah universiti iaitu pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, sitasi, pengantarabangsaan dan pemindahan ilmu yang diperkenalkan sejak 2011. 

“Dengan tersenarainya Utem dalam kedudukan THE World University Rankings 2021 telah menzahirkan Utem terus berprestij sebagai salah sebuah institusi kecemerlangan ilmu antara yang terbaik di peringkat dunia. 

“Pihak Utem di segenap peringkat juga akan terus bergiat aktif melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu bagi menambah baik kedudukan ini pada masa akan datang,” katanya di sini hari ini. 

Tambah Dr. Raha, penarafan itu juga diharap memantapkan lagi jentera pengurusan universiti terutama ketika mendepani sebarang cabaran kini dan mendatang termasuklah pasca pandemik Covid-19.

Sementara itu, menurut keputusan disiarkan laman rasmi THE World University Rankings, University of Oxford di United Kingdom terus mendahului senarai penarafan tersebut diikuti Standford University dan Harvard University di Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, California Institute of Technology, Massachusetts Institute of Technology dan University of Cambridge berada di tangga keempat, kelima dan keenam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya