KUALA LUMPUR: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menempatkan diri dalam kelompok lima universiti awam terbaik negara menerusi Graduate Employability Index 2026 hasil penilaian Talentbank membabitkan 1,200 majikan industri.
Bidang pengajian automotif UTeM turut menduduki tempat pertama dalam kalangan universiti awam Malaysia menerusi penilaian sama.
Pada masa yang sama, empat bidang pengajian UTeM iaitu automotif, keusahawanan, kejuruteraan mekanikal dan kejuruteraan mekatronik menerima penarafan unggul 6-Star Employer Choice.
UTeM turut diiktiraf sebagai universiti Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terkemuka di Malaysia bagi kebolehpasaran siswazah.
Selain itu, universiti berkenaan menjadi pilihan utama majikan bagi pengambilan graduan secara berskala besar dalam bidang komputeran dan teknologi maklumat.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, pencapaian itu membuktikan strategi universiti dalam memastikan kurikulum yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan industri.
Menurutnya, pendekatan tersebut turut memberi fokus kepada pembangunan kemahiran praktikal dan insaniah pelajar selaras dengan kehendak pasaran kerja semasa.
“Ini merupakan penzahiran kepercayaan tinggi pihak industri terhadap kualiti graduan UTeM, malah membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan berasaskan industri yang kami laksanakan secara bersepadu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, UTeM akan terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan rakan industri bagi memastikan graduan yang dilahirkan mampu memenuhi kehendak pasaran kerja semasa dan menjadi pemacu inovasi negara pada masa hadapan.
UTeM menerima piala dan sijil kecemerlangan dalam Majlis Employer Choice Award anjuran Talentbank di Kuala Lumpur baru-baru ini yang disampaikan kepada wakil universiti itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif.
Sabri berkata, kemenjadian mahasiswa kekal menjadi tonggak utama UTeM dalam melahirkan graduan holistik, kompeten dan berdaya saing di peringkat global. – UTUSAN










