PUTRAJAYA : Yang di-Pertuan Agong tidak wajar diheret dalam kemelut politik dan perebutan kuasa Perdana Menteri kerana Seri Paduka Baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah pun melantik Perdana Menteri yang sah.
Exco Gerakan Belia 4B Kuantan, Mohd. Afif Mohd. Anuar turut meminta ahli Dewan Rakyat yang menyokong untuk melantik Perdana Menteri yang baharu harus membuat kenyataan beramai-ramai dan bukan hanya ‘membaling batu sembunyi tangan’ sebagaimana dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Jika benar wujud akuan bersumpah (SD) yang sah dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang menyatakan sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, maka SD berkenaan perlu dinyatakan di dalam Dewan Rakyat dahulu sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong.
“Sebenarnya, kemelut antara parti-parti politik ini yang selalu menyatakan tentang perjuangan membela bangsa dan negara hanyalah retorik.
“Ia hanya menambahkan nanah di dalam luka terhadap rakyat umum yang sudah bosan dengan sifat rakus dan tamak manusia politik,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Kelmarin, Anwar yang juga Presiden PKR membuat dakwaan bahawa beliau telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata, kenyataan Anwar itu dilihat cuba menggugat kuasa eksekutif yang masih dipegang Perdana Menteri sedia ada, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, ia sejajar dengan pandangan Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz yang menyatakan sekiranya jawatan Perdana Menteri masih diisi, mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat tidak mempunyai hak untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong selagi mana Perdana Menteri tidak menyatakan hal itu.
“Kenyataan ini jelas menunjukkan Dewan Rakyat perlu memutuskan sama ada Perdana Menteri masih ada sokongan atau pun tidak. Sidang Dewan Rakyat masih berjalan dan saya kira proses ini sangat mudah untuk memastikan dakwaan ini betul atau tidak.
“Ciapan seorang peguam di dalam akaun Twitternya pula membidas kenyataan Shamrahayu dan mengelirukan rakyat dengan anologi kes peletakan jawatan Perdana Menteri Ke-7 yang menyaksikan campur tangan Istana, jelas sekali sangat berbeza kerana jawatan Perdana Menteri pada ketika itu kosong,” katanya.
Beliau berkata, Perlembagaan Negara tidak seharusnya dicemari dengan agenda jahat kerana pemegang kuasa eksekutif adalah dipilih rakyat menerusi undi.
Oleh itu, katanya, kenyataan Anwar tidak harus disambut kerana tiada asas untuk menggantikan Perdana Menteri sedia ada kecuali diisytiharkan oleh Perdana Menteri ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong. -UTUSAN










