Tahan jika langkau garisan keselamatan negara - Utusan Malaysia

Tahan jika langkau garisan keselamatan negara

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Polis tidak teragak-agak untuk menahan mana-mana pengikut ajaran sesat yang didapati melangkaui garisan keselamatan negara.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, malah pihaknya akan serta-merta memburu mereka jika wujud cubaan mengumpul senjata api bagi mencetuskan kacau bilau di negeri ini.

Beliau mengakui bahawa terdapat kewujudan ajaran sesat dan fahaman yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah telah bertapak di Johor.

“Polis tidak boleh mengambil tindakan ke atas penganut atau pengamal ajaran sesat kerana ia merupakan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama, namun kita boleh beri bantuan.

“Namun jika ada usaha untuk melangkaui garisan keselamatan contohnya melibatkan senjata api, menguling kerajaan, mendatangkan kacau bilau, itu polis akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Pencegahan Jenayah Ketua Polis Johor bersama komuniti Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan ceramah sebelum Solat Jumaat di hadapan ribuan jemaah yang hadir di masjid tersebut.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, kesedaran orang ramai di negeri ini terhadap penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) masih rendah sejak diperkenalkan lima tahun lalu.

Katanya, perkara itu dilihat apabila terdapat hampir 126,430 orang memuat turun aplikasi meskipun Johor memiliki empat juta penduduk.

“Penyaluran maklumat menerusi aplikasi itu membolehkan tindakan cepat diambil bagi mencegah jenayah kerana segala maklumat disalurkan dengan lebih mudah dan berkesan tanpa sebarang halangan.

“Masyarakat perlu menangkis perasaan takut untuk berkongsi maklumat dan aplikasi itu memudahkan kerjasama antara polis dan masyarakat,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya