Sambutan ringkas, ikut SOP - Utusan Malaysia

Sambutan ringkas, ikut SOP

AMINUDDIN HARUN mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara disertai barisan Exco, para ADUN dan ketua-ketua jabatan pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan, semalam. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 Peringkat Nege­ri Sembilan semalam berlangsung ringkas mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani penularan pandemik Covid-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban dekat sini, sambutan diadakan secara tertutup dengan hanya membabitkan orang kenamaan, pemimpin negeri dan ketua jabatan serta petugas barisan hadapan.

Sambutan bermula pukul 8.40 pagi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud diikuti pembesar-pembesar lain.

Sambutan diteruskan dengan nyanyian lagu Kebesaran Negeri Sembilan diikuti acara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku oleh pasukan Pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat dan Pasukan Brass Band Wanita Rejimen Semboyan Diraja, Kem Sungai Besi.

Majlis seterusnya diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kemudian mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara yang turut disertai oleh barisan Exco kerajaan negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua-ketua jabatan.

Sambutan kemudian tamat kira-kira pukul 9 pagi dengan keberangkatan pulang Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani.

Sementara itu, Aminuddin menjelaskan, majlis serba ringkas dan sederhana itu dilakukan bagi mematuhi SOP ditetapkan dan beliau berharap sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-63, rakyat dapat terus menguatkan semangat untuk menghadapi pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, sambutan se­­lesai dalam tempoh singkat. Ki­ta memang mengehadkan ke­­hadiran di samping program walaupun berlangsung di tempat biasa (Padang Majlis Bandaraya Seremban) tetapi kali ini di­adakan tertutup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya