327 sampel positif hMPV dikesan tahun lalu

327 sampel positif hMPV dikesan tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 327 kes sampel positif virus metapneumovirus manusia (hMPV) dikesan berada di negara ini sepanjang tahun lalu.

Kementerian Kesihatan berkata, jumlah itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 225 kes yang dicatatkan pada tahun 2023.

Katanya, hMPV adalah satu jangkitan saluran pernafasan disebabkan virus dalam keluarga Pneumoviridae dan sudah lama berada di dalam negara.

“Jangkitan hMPV bukan satu penyakit baharu. Di Malaysia, jangkitan hMPV juga tidak wajib dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

“Jangkitan saluran pernafasan akan terus wujud dalam komuniti dan kita perlu sentiasa berwaspada menghadapinya. Orang ramai dinasihatkan agar proaktif menjaga kesihatan diri serta mencegah jangkitannya kepada orang lain terutamanya di kawasan yang tertutup dan sesak,” katanya dalam ke­nyataan.

Terdahulu, penyakit pernafasan semakin meningkat di China dan terdapat aduan tentang hospital yang sesak berikutan penyebaran virus hMPV, yang dilaporkan turut menular di beberapa negara Asia lain.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CCDCP) mengesahkan hMPV merebak ke seluruh wilayah utara negara itu yang kini menjadi lokasi paling teruk terjejas oleh virus tersebut.
hMPV boleh menjangkiti semua peringkat umur dan paling kerap menyerang kanak-kanak, sekali gus meningkatkan kebimbangan kesihatan awam.

Walaupun laporan media sosial menggambarkan situasi kritikal, pegawai China mahupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengisytiharkan darurat pada peringkat ini.

Penularan wabak tersebut meningkatkan kesedaran tentang keperluan untuk langkah pencegahan, terutamanya kerana tiada vaksin khas untuk hMPV walaupun virus itu sudah dikesan sejak hampir dua dekad lalu.

Mengenai situasi Covid-19, Kementerian Kesihatan berkata, ia masih terkawal dan tiada pe­ningkatan mendadak kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan tiada kematian dilaporkan sejak 25 April 2024.

Sehingga kini, varian SARS-CoV-2 yang sedang menular di Malaysia masih merupakan varian Omicron serta subvariannya dan tiada kes baharu va­rian Omicron dilaporkan dari 24 November 2024 hingga hujung tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×