KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi tumpuan untuk membina semula simpanan pencarum selepas sebanyak RM145 bilion dikeluarkan menerusi empat fasiliti khas ketika pandemik Covid-19.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengeluaran tersebut melibatkan seramai 8.2 juta pencarum melalui i-Lestari, i-Sinar, i-Citra serta pengeluaran khas.
“Fokus utama kerajaan ketika ini adalah mengukuhkan semula simpanan persaraan pencarum agar mereka dapat menikmati pendapatan yang mampan selepas bersara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Mohd. Hasbi Muda mengenai tahap kecukupan simpanan pencarum bagi menghadapi usia persaraan.
Amir Hamzah berkata, kerajaan tidak bercadang memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu selepas KWSP melaksanakan penstrukturan semula akaun dengan mewujudkan Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3 yang bersifat fleksibel bagi pengeluaran kecemasan.
Selain itu, katanya, KWSP turut meneliti cadangan memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan kepada pencarum baharu yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, manakala ahli sedia ada diberi pilihan untuk beralih kepada skim berkenaan.
“Skim ini masih dalam peringkat kajian dan dijangka diluluskan dalam tempoh beberapa tahun lagi. Pencarum sedia ada tidak diwajibkan, sebaliknya boleh memilih untuk menyertai skim ini,” katanya. – UTUSAN










