SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memandang serius penularan fahaman liberal yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pengerusinya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, dalam memberi kefahaman dan penjelasan kepada masyarakat awam berhubung fahaman liberalisme, MAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor melaksanakan program penerangan berterusan kepada pelajar sekolah, pegawai kerajaan dan orang awam.
“Sejak 2014 hingga tahun lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah melaksanakan 582 aktiviti yang melibatkan sesi penjelasan, seminar, konvensyen dan pemantauan bagi memastikan fahaman liberalisme termasuk ajaran sesat dapat ditangani sehingga ke peringkat akar umbi.
“Tindakan dan pemantauan berterusan melalui media sosial juga diambil bagi membendung penyebaran fahaman liberalisme ini selain menerbitkan buku berkaitan kesedaran akidah untuk rujukan orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini semalam
Utusan Malaysia semalam melaporkan Majlis agama Islam setiap negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa tidak ‘berpeluk tubuh’ dalam mengekang penularan fahaman liberal yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sumber memberitahu, ini kerana hasil risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati fahaman dan ideologi berkenaan termasuk Freemason kini sudah menjadi ancaman serius di negara ini yang disebarkan melalui Facebook, Twitter, YouTube, WhatsApp dan Telegram sebagai ‘alat propaganda songsang’.
Lebih mengejutkan, ideologi liberal itu dipercayai telah mula berkembang di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
Dalam pada itu, Mohammed Khusrin berkata, pihaknya melalui JAIS juga sentiasa melakukan pemantauan terhadap kumpulan fahaman atau ideologi menyimpang syarak yang disyaki aktif.
“Di Selangor, dalam usaha menangani penyebaran fahaman dan ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam, MAIS dan pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMS) dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor (JPSS) sentiasa bekerjasama secara bersepadu bagi menangani dan mencegah perkara ini.
“Kita juga sentiasa proaktif dalam melaksanakan aktiviti pemantauan, risikan dan siasatan secara berterusan termasuk dengan kerjasama orang awam ke atas fahaman ini yang disyaki kembali aktif,” katanya. – UTUSAN











