Kemelut agihan kerusi, pilih calon PRN Sabah - Utusan Malaysia

Kemelut agihan kerusi, pilih calon PRN Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kurang beberapa jam lagi sebelum pengumuman senarai calon pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-15 pagi ini di Kota Kinabalu, masing-masing parti bertanding terus bergelut dengan cabaran menetapkan agihan kerusi termasuk berisiko berdepan `sabotaj’, yang masalahnya dipercayai lebih memberat kepada Perikatan Nasional (PN).

Tumpuan turut terarah kepada nama-nama besar seperti Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman sama ada akan terpilih bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Sehingga lewat petang semalam, sumber memberitahu Utusan Malaysia, kemungkinan akan ada kalangan penyandang kerusi daripada kumpulan yang melompat dari Parti Warisan Sabah (Warisan) ke BN sehingga membawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu tidak terpilih sebagai calon.

Tengah hari semalam ketika Musa yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah memberi bayangan dalam ciapan twitternya akan bertanding di kerusi Sungai Manila, Libaran, ura-ura itu dengan segera dinafikan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Saya tidak ada perbincangan mengenai itu (pulang ke Sungai Manila). Nama beliau juga tiada dalam senarai calon (BN) yang akan diumumkan esok (hari ini),” kata Bung Moktar.

Selain PN, Warisan juga berdepan isu untuk berkompromi dengan PKR, antara sekutu Warisan Plus dalam PRN, berikutan tuntutan parti itu mahu meletakkan 14 calon berbanding cuma lapan kerusi yang dipersetujui Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan MPN PKR Sabah, Simsudin Sidek berkata, tuntutan itu berbaloi kerana keanggotaan PKR Sabah telah mencecah lebih 170,000 orang, menjadikan Sabah negeri kedua tertinggi dari segi keanggotaan parti selepas Selangor.

Sumber memberitahu jika pimpinan PKR tidak muncul pada majlis pengumuman calon Warisan Plus di Tingkat 4, Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada pukul 9.30 pagi ini, ia bermakna perpecahan akan melanda gabungan itu, sekali gus menyaksikan pertembungan tiga penjuru tidak dapat dielakkan.

Setengah jam selepas pengumuman 73 calon Warisan Plus itu, BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula akan melakukan majlis sama di Magellen Sutera Harbour.

Difahamkan, sebaik sahaja pengumuman calon dibuat oleh BN/Bersatu dan Warisan, kesemua 146 calon berkenaan akan `dikurung’ bagi mengelakkan sabotaj atau `lompat’ menjelang hari penamaan 12 September.

Kebimbangan dari segi agihan kerusi dalam kalangan calon PN menjelang dua hari sahaja lagi penamaan calon Sabtu ini turut disuarakan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa yang meminta semua parti dalam gabungan itu bertenang.

“Saya cuba menghitung, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) nak 18; Bersatu nak 45, Parti Bersatu Sabah (PBS) nak 30, Pas nak 10.

“Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) nak 11, MCA nak enam kerusi. Dah 120 sedangkan DUN Sabah cuma ada 73.

“UMNO nak minta berapa kalau parti yang menang satu atau dua kerusi pun nak berbelas-belas, maka kita berunding setakat yang boleh, tenang-tenang, jangan bising, ” katanya dalam ciapan Twitter miliknya semalam.

Dalam pada itu, perkara sama dibangkitkan sebelum ini oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan terpaksa ‘turun’ ke Sabah untuk menyelesaikan masalah itu.

Beliau melahirkan kebimbangan selepas peluang PN memenangi kesemua 73 kerusi di Sabah kini menjadi sukar pula berikutan wujud pertembungan tiga penjuru di sesetengah kawasan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN