CYBERJAYA: Nama sahaja Cyberjaya yang terkenal dengan jolokan bandar pintar, namun bandar ini masih ketinggalan dalam liputan telekomunikasi.
Apatah lagi tahap capaian internet masih lemah sehingga menimbulkan rungutan penduduk dan pekerja di bandar itu.
Tidak perlu pergi jauh ke pedalaman Sabah dan Sarawak atau di kawasan-kawasan luar bandar negeri lain, kemudahan infrasruktur itu di kawasan bandar belum diatasi sepenuhnya oleh pihak berwajib.
Seorang pekerja swasta di sini, Nik Edna Shahirah Nik Mazli, 25, berkata, masalah liputan internet bergantung kepada syarikat telekomunikasi (telco) yang menyediakan perkhidmatan tersebut.
Selain itu, katanya, ia turut bergantung kepada kawasan-kawasan tertentu yang kadangkala langsung tidak memperoleh liputan internet seperti dalam bangunan sekitar Tamarind Square.
“Jika keadaan ini berlaku, ia sangat menyukarkan kami berkomunikasi menerusi telefon pintar. Kadangkala kami perlu melakukan kerja di luar. Capaian internet yang baik amat diperlukan supaya kerja dapat disiapkan mudah dan cepat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Masalah capaian internet itu pernah diakui Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin yang membangkitkan isu berkenaan yang dikatakan bukan sahaja berlaku di luar bandar, malah turut dialami di bandar-bandar seperti Cyberjaya dan Damansara.
Mengutarakan permasalahan sama, Rahmat Sabri Razali, 42, berkata, masalah capaian internet di sini boleh dikatakan amat teruk dan kadangkala sangat perlahan seperti ‘siput’ sehingga ramai yang kecewa dengan situasi itu.
Katanya, walaupun aduan dibuat kepada syarikat telco yang dilangganinya, jawapan sama diberikan iaitu perkhidmatan di bawah penyelenggaraan.
“Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku di sebuah bandar elit dan merupakan tulang belakang Koridor Raya Multimedia (MSC) di Malaysia. Isu ini perlu ditangani dalam usaha kerajaan untuk ke arah ekonomi digital,” katanya.
Seorang lagi pekerja swasta di Cyberjaya yang enggan dikenali berkata, walaupun pejabatnya terletak di Jalan Teknokrat 5 di sini, masalah kelembapan internet masih kerap berlaku sehingga mengganggu urusan kerja harian.
“Pernah berlaku masalah kemudahan jaringan tanpa wayar (WiFi) langsung tidak dapat dikesan sedangkan pejabat saya berada di tengah-tengah Cyberjaya. Kalau pergi tingkat bawah di pusat beli belah Dpulze pun capaian internet susah hendak dapat.
“Berbeza dengan tempat tinggal saya di Cybersouth yang mungkin agak jauh sedikit dari bandar Cyberjaya, internet memang lambat disebabkan kawasan baharu dan infrastruktur juga belum cukup sepenuhnya,” jelasnya.
Bagi penduduk di Cyberia Crescent 1, Ahmad Izzuddin Abdul Rahman, 28, sepanjang tiga tahun menetap di Cyberjaya, dia kerap mengalami gangguan internet pada waktu malam sehingga terpaksa mematikan dan menghidupkan semula modem internet di rumahnya setiap kali menonton drama di saluran berbayar Netflix.
“Masalah internet lambat kerap sangat berlaku pada waktu malam dan hujung minggu, mungkin waktu itu ramai pengguna berada di rumah. Seperti malam semalam, semasa saya sedang menonton drama di Netflix, talian internet menjadi lambat dan rancangan yang ditonton juga terhenti seketika.
“Saya kira tiga kali seminggu masalah ini berlaku dan pernah juga buat aduan pada pejabat Telekom Malaysia (TM) di sini, tetapi masalah masih sama berlaku,” luahnya.
Sementara itu, seorang lagi warga Cyberjaya, Mohd. Sameer Zakri, 28, berkata, capaian internet di kawasan perumahannya agak mengecewakan kerana lemah dan tidak konsisten.
“Agak sukar untuk melayari internet yang merupakan antara keperluan sekarang. Pihak berwajib seharusnya memasang fiber optik secara menyeluruh di kawasan Cyberjaya memandangkan kawasan ini dikenali sebagai bandar komunikasi,” katanya yang menetap sekitar Cyber 10. – UTUSAN










