Cuba sogok polis, wanita Vietnam dipenjara - Utusan Malaysia

Cuba sogok polis, wanita Vietnam dipenjara

LE Thi To Nga dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan cubaan merasuah anggota polis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Wanita warga Vietnam dipenjara sehari dan didenda RM1,000 selepas mengaku salah atas kesalahan menawarkan rasuah kepada anggota keselamatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Le Thi To Nga, 40, dituduh menawarkan suapan sebanyak RM50 kepada anggota polis, Koperal Mohd. Zarul Hafiz Azhar pada 7 September lalu.

Pembantu kedai makan tersebut dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Utama, Rompin bersebelahan premis Maybank pada pukul 12 tengah hari bagi mengelak dikenakan saman lalu lintas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon dikenakan hukuman lebih ringan kerana dibayar gaji serendah RM30 sehari dan terpaksa mengambil upah membersihkan rumah bagi menambah pendapatan.

Sejurus mendengar pengakuan serta rayuan daripada tertuduh, Hakim Mohd. Ghazali Mohamad Taib menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,000.

Mohd. Ghazali turut menetapkan tambahan hukuman penjara selama sebulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya