Nama 631 pesalah rasuah dalam portal SPRM - Utusan Malaysia

Nama 631 pesalah rasuah dalam portal SPRM

Datuk Shamshun Baharin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dengan hanya melayari laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mana-mana syarikat boleh menyemak latar belakang calon pekerja mereka sama ada ‘bersih’ daripada rasuah atau sebaliknya.

Menerusi pangkalan data dikenali Data Pesalah Rasuah itu, maklumat seperti nama dan gambar pesalah rasuah yang disabitkan bersalah oleh mahkamah akan dimuat naik bagi memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan sama.

Malah, pangkalan data itu juga dikatakan digunakan oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di negara ini untuk menyemak latar belakang pemohon visa yang mahu ke negara mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil memberitahu, masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan pangkalan data pesalah rasuah tersebut walaupun diperkenalkan sejak 2011.

Ujarnya, nama-nama pesalah itu akan berada dalam senarai pangkalan data tersebut selama tiga tahun dari ia mula dipaparkan sebelum dipadamkan.

“Setakat ini, terdapat kira-kira 631 nama pesalah rasuah disenaraikan dalam portal berkenaan.

“Tidak kira ahli politik, kakitangan awam, ahli perniagaan dan orang awam, jika individu berkenaan didapati bersalah nama mereka akan dimasukkan dalam pangkalan data tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lebih lanjut, Shamshun Baharin berkata, menerusi pangkalan data itu, status terkini sesuatu kes turut dinyatakan untuk menunjukkan sama ada individu yang didapati bersalah merayu terhadap hukuman tersebut.

“Nama individu yang didapati bersalah hanya dimuat naik dalam pangkalan data ini selepas keputusan dibuat oleh mahkamah.

“Mana-mana individu yang kes mereka sedang disiasat tidak akan dimasukkan ke dalam pangkalan data tersebut,” ujarnya.

Pangkalan Data Pesalah Rasuah adalah salah satu inisiatif dicadangkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) rasuah yang dioperasikan oleh SPRM melalui portal rasmi mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN