Kluster Sivagangga: Lebih 8,000 terjejas - Utusan Malaysia

Kluster Sivagangga: Lebih 8,000 terjejas

Kes Covid-19 di Napoh, Kedah sehingga kawasan itu diletakkan sebagai Kluster Sivagangga masih menghantui orang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA: Hanya kerana kegagalan se­orang pemilik restoran nasi kan­dar di pekan Napoh di sini me­matuhi arahan kuarantin di ru­mah, kehidupan lebih 8,000 penduduk dari empat mukim di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap terjejas.

Selain pergerakan terbatas eko­ran pelaksanaan Perintah Ka­walan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran berkuat kuasa semalam, mereka juga terpaksa menjalani saringan Covid-19.

Ia juga berkemungkinan bo­leh mencetuskan gelombang ke­­dua pandemik Covid-19 ke­ra­na angka yang terlibat besar dan ada kemungkinan kontak yang terbabit dengan kluster ini sudah bergerak ke kawasan lain.

Pada masa sama pembelajaran di lima buah sekolah turut terjejas apabila diarahkan tutup hingga 28 Ogos ini.

Semuanya bermula apabila pemilik restoran berkenaan yang sepatutnya menjalani kua­rantin wajib di rumah selama 14 hari selepas pulang dari India baru-baru ini didapati sering berada di restorannya itu.

Dia juga telah dikompaun selepas gambarnya yang memakai gelang merah jambu berada di dalam kedai tular dalam media sosial.

Pemilik restoran itu turut disahkan positif Covid-19 dan bergejala.

Ekoran itu 11 kes baharu positif Covid-19 dikesan berpunca daripada kedai nasi kandar berkenaan dan Kementerian Kesihatan mengkategorikannya sebagai Kluster Sivagangga.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar di Putrajaya semalam mengumumkan pelaksanaan PKPD secara pentadbiran di empat mukim itu bermula semalam hingga 30 Ogos ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan 11 kes baharu Covid-19 yang berpunca daripada kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga.

Kawasan terbabit ialah Restoran Nasi Kandar Salleh di pekan Napoh, Kampung Pida Satu di Megat Dewa, Kampung Bendang Dalam Mukim Binjal di Kubang Pasu dan Padang Sanai di Padang Terap.

“Pelaksanaan PKPD secara pentadbiran akan mengguna pakai prosedur operasi stan­dard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama ke kawasan sekitar,” kata Ismail Sabri.

Selain sekolah, tadika, masjid dan rumah ibadat turut ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan Kedah, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman memberitahu, seramai 3,000 penduduk di sekitar Napoh dijangka menjalani sa­ringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Napoh di sini dalam tempoh seminggu bermula 29 Julai.

Katanya, lebih 700 penduduk telah melakukan saringan dan semuanya dipakaikan gelang merah jambu dan perlu menjalani kuarantin 14 hari sebelum melakukan saringan kali kedua.

“Kebanyakan penduduk terlibat merupakan kontak rapat dan mempunyai kaitan dengan kluster Sivagangga,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur berkata, polis melakukan enam sekatan jalan raya di daerah ini susulan pelaksanaan PKPD itu.

Menurutnya, enam sekatan itu diadakan di Kilometer (KM) 16 arah Utara Lebuh Raya Changlun, KM18.4 arah Selatan Lebuh Raya Changlun, hadapan Masjid Cerok Mokkan, Pida 1, Jalan Kampung Tebing dan Jalan Kampung Wang Perah.

Jelasnya, seramai 96 anggota dan pegawai polis ditugaskan melakukan sekatan itu.

“Sekatan itu diadakan bagi memastikan tiada kemasukan orang luar di dalam kawasan terlibat tanpa urusan penting,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN