Rentas Malaysia-Singapura dijangka buka seawal 17 Ogos - Utusan Malaysia

Rentas Malaysia-Singapura dijangka buka seawal 17 Ogos

Hishammuddin Tun Hussein dan Vivian Balakrishnan mengadakan pertemuan bagi membincangkan pergerakan rentas sempadan Malaysia-Singapura. - Gambar Wisma Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pergerakan rentas sempadan Malaysia dan Singapura menerusi Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) dijangka dibuka  seawal 17 Ogos ini.

RGL akan membabitkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi manakala PCA pula bagi pemegang pas imigresen jangka panjang di kedua-dua negara tersebut.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagi permulaan, mereka yang layak boleh menghantar permohonan masing-masing  mulai 10 Ogos ini.

Menurut beliau,  Malaysia dan Singapura turut memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung pembukaan sempadan berkenaan dan perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita turut akan mengeluarkan garis panduan untuk makluman mengenai syarat-syarat dan cara-cara permohonan.

“Namun paling utama disiplin dan pematuhan terhadap SOP.  Jangan ambil mudah kerana kita tidak akan berkompromi dalam soal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pertemuan Bersama Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan bagi Membincangkan Pergerakan Rentas Sempadan Malaysia-Singapura di Kompleks Kastam Imigresen Dan Kuarantin Sultan Iskandar, Bukit Chegar.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Hishamuddin berkata, kedua-dua pelaksanaan tersebut akan melibatkan kemasukan 400 orang seminggu bagi RGL manakala 2,000 orang sehari bagi PCA.

Beliau menambah, kejayaan pembukaan RGL dan PCA akan menjadi penanda aras bagi pembukaan rentas negara bagi kategori ketiga iaitu 200,000 pekerja Malaysia yang berulang alik sehari dan diikuti  rentas negara kategori keempat iaitu pembukaan sempadan sepenuhnya.

Pada 14 Julai lalu, kerajaan Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan untuk melaksanakan dua kategori rentas negara iaitu RGL dan PCA. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya