PETALING JAYA: Pelakon, Hafreez Adam, berharap dapat keluar daripada zon selesa dengan memainkan watak antagonis.
Menurut Hafreez atau Hafreez Adam Aizat Zahalan, 34, sepanjang bergelar pelakon, dia hanya ditawarkan dua jenis watak sama ada pelajar sekolah ataupun anak orang kaya.
“Pelakon di Malaysia senang distereotaip. Karakter itulah yang dibawanya sampai bila-bila. Sukar untuk saya keluar daripada watak sedia ada sampaikan saya sendiri pernah minta produksi untuk bawa karakter berbeza.
“Selagi saya tidak keluar membawakan watak berlainan, saya rasa seperti tidak berkembang. Saya harap ada produksi yang nampak dan beri peluang untuk saya membawakan karakter orang jahat atau psikopat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Hafreez berjanji akan memberikan sepenuh komitmen seandainya peluang itu diberikan kepadanya.
“Sebelum ini saya pernah turunkan berat badan sehingga sepuluh kilogram dalam beberapa bulan untuk tuntutan naskhah sampai ada yang menyangka saya sakit.
“Selain itu, pengarah pernah minta saya terjun ke dalam paya pada jam tiga pagi dan saya okay sahaja untuk lakukan.
“Pendek kata, saya akan buat apa sahaja asalkan ia akan memberi impak kepada penonton,” jelasnya.
Terdahulu, selepas menyertai program pencarian bakat Hero Remaja 2011, Hafreez memulakan kerjaya lakonan dengan beberapa diri drama seperti Puteri Malam, Bila Hati Berbicara, Malang Si Puteri serta sekuel filem Juvana. -UTUSAN










