PETALING JAYA: Seorang daripada tiga pendaki rakyat Malaysia yang terkandas pada ketinggian kira-kira 6,000 meter sejak Selasa lalu di Gunung Denali Alaska, Amerika Syarikat meninggal dunia.
Kelab Alpine Malaysia menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, mangsa Zulkifli Yusuf, 37, dilaporkan meninggal dunia pada 6 pagi, 29 Mei (waktu tempatan), semasa berlindung di ‘gua salji’ yang dikenali sebagai ‘Football Field’.
“Punca kematian disyaki akibat ‘High Altitud Cerebral Edema’ dan ‘Hypothermia’ dan akan disahkan melalui bedah siasat.
“Jenazah kini masih berada di tempat kejadian dan proses mengeluarkan jenazah mungkin mengambil masa untuk menunggu cuaca baik,” katanya.
Terdahulu, Denali National Park & Preserve dalam satu kenyataan pada 31 Mei mengesahkan pasukan penyelamat mereka berjaya menyelamatkan mangsa pertama daripada tiga yang dilaporkan terperangkap, Muhammad Illaham Ishak, 47, pada 28 Mei.
Dalam pada itu, pihak Konsulat Malaysia di Los Angelas turut dimaklumkan berkenaan perkembangan tersebut dan akan membantu mangsa untuk proses selanjutnya.
“Pihak keluarga juga telah dimaklumkan dan kami ingin ucapkan takziah dan mohon rakyat Malaysia mendoakan mangsa,” menurut kelab itu.
Sementara itu, mangsa kedua, Zainudin Lot, 47, berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat pada 31 Mei, dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Talkeetna, Alaska. – UTUSAN











