HULU SELANGOR: Calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao menafikan dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak membantunya berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Sock Tao berkata, sejak mula kempen bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut, beliau mendapat bantuan daripada pemimpin-pemimpin utama PKR.
“Dakwaan itu adalah tidak benar kerana Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sendiri turun padang untuk membantu kempen.
“(Malah), saya juga menyertai satu forum yang dianjur oleh PKR yang mana Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar juga turut hadir dalam forum tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Program Kopitiam Talk, di sini.
Turut hadir di program yang diadakan di Kampung Asam Kumbang itu adalah veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.
Terdahulu, sebuah portal berita tempatan melaporkan, PKR didakwa kurang turun berkempen di PRK Kuala Kubu Baharu ekoran mengalami kekurangan dana untuk menurunkan jentera mereka.
Laporan tersebut memetik satu sumber pemimpin PKR yang berkata, bahagian negeri tidak menyalurkan dana kepada jentera pilihan raya kerana pergeseran pemilihan calon.
Dalam pada itu, Sock Tao berkata, cabaran yang dihadapinya kini adalah untuk memastikan peratusan keluar mengundi tinggi.
Katanya, PH menyediakan rakaman dalam pelbagai bahasa untuk menyeru pengundi Kuala Kubu Baharu yang berada di luar kawasan untuk balik mengundi dan mengatasi cabaran tersebut.
“Undi anda akan menentukan arah pembangunan Kuala Kubu Baharu pada masa akan datang.
“Tanggungjawab sebagai pengundi Kuala Kubu Baharu untuk memastikan kesejahteraan dan pembangunan terus terjamin,” ujarnya .- UTUSAN










