PRK KKB: 97% bukan Melayu undi PH, 83% undi PN

PRK KKB: PN masih kuasai undi Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mengukuhkan sokongan di kalangan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (PRK KKB) tetapi gagal memenangi hati kaum lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Analisis terperinci keputusan PRK tersebut pada 11 Mei lalu yang oleh Institut Masa Depan Malaysia menunjukkan undi Melayu kepada PN meningkat daripada 75 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 kepada 83 peratus pada PRK KKB.

Dalam analisis itu, PN hanya mencatatkan kemerosotan undi Melayu dalam kalangan pengundi awal yang menunjukkan trend bertentangan dengan pengundi biasa.

Pakatan Harapan (PH) pula mengekalkan sokongan pengundi Cina yang tinggi pada sekitar 97 peratus dalam kedua-dua PRN 2023 dan PRK 2024.

Dalam kalangan pengundi India pula, dianggarkan sekitar 85 peratus mengundi PH dan selebihnya memilih PN yang mana dapatan ini menunjukkan tiada perubahan ketara pola pengundian kaum India berbanding PRN 2023.

Keputusan PRK KKB menunjukkan penerusan trend pola pengundian berasaskan kaum yang diperhatikan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan PRN 2023 yang mana PN menguasai undi Melayu manakala PH mengungguli undi bukan Melayu, terutamanya kaum Cina.

“Dalam kajian tinjauan pendapat pra PRK KKB yang kami jalankan pada 30 Mac hingga 7 April lalu, 59 peratus responden yang merupakan pengundi berdaftar di Kuala Kubu Baharu menyatakan isu kos sara hidup, inflasi dan pembangunan ekonomi menjadi kebimbangan utama mereka.

“Hanya dua peratus menyatakan kebimbangan mengenai kedudukan hak kaum masing-masing.

“Namun begitu, keputusan PRK KKB menunjukkan pola pengundian lebih dipengaruhi oleh faktor identiti kaum berbanding faktor ekonomi. Ini bermaksud, identiti kaum terus menjadi faktor utama yang menentukan pilihan parti pengundi berbanding faktor kelas sosial, pendapatan dan jantina,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Institut Masa Depan Malaysia, peningkatan undi Melayu kepada PN menunjukkan setakat ini PH masih gagal mengemukakan dasar-dasar yang boleh meyakinkan pengundi Melayu.

“Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan gaji penjawat awam, janji pelaksanaan projek-projek pembangunan dan penglibatan aktif UMNO berkempen untuk calon PH dari parti DAP tidak memberi kesan kepada sikap pengundi Melayu terhadap PH.

“Pada masa yang sama, walaupun PN mengukuhkan pengaruhnya dalam kalangan pengundi Melayu, parti itu tidak menunjukkan pencapaian positif dalam meraih undi bukan Melayu.

“Sekiranya trend ini berterusan dan menjadi semakin ketara sehingga PRU16, PN berpotensi untuk terus menguasai kawasan-kawasan majoriti Melayu manakala PH pula akan mengungguli kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu seperti Kuala Kubu Bharu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN