TAK ada ‘peluru’ untuk Perikatan Nasional (PN) ‘tembak’ di Kuala Kubu Baharu (KKB).
Pakatan Harapan (PH) menerusi DAP, biarpun dikatakan ‘tembak rambang’ sekalipun, mereka adalah kerajaan. Berada dalam kerajaan. Ada duit, peruntukan dan segalanya untuk kerja-kerja pembangunan.
Kelmarin 11 Mei, PH masih tulis atas batu di KKB dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri itu.
Calon DAP, Pang Sock Tao meraih majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya, Khairul Azhari Saut dari PN-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas). Dalam pilihan raya negeri (PRN) Ogos 2023, DAP menang di situ dengan majoriti 4,119 undi.
Meskipun peratusan keluar mengundi mencatat 61.51 peratus berbanding 69 peratus tahun lepas, DAP masih berjaya merampas tiga peti undi yang tewas sebelum ini iaitu di Kerling, Sungai Air Jernih dan Pertak. Dua daripadanya kawasan majoriti Melayu.
Pengundian awal melibatkan polis turut memihak kepada PH dengan mencatat majoriti besar 423 undi. Undi tentera pula PH masih menang tipis 13 undi, dengan kedua-dua undi polis dan tentera mencatat majoriti 436 buat PH.
Di KKB, isu pembangunan bukan boleh dijadikan ukuran dan modal sangat untuk kempen pilihan raya sebab sejarah KKB memang begitu adanya. Yang ‘tampak hebat’ di sana pun hanya dataran KKB. Kalau ada pun stesen basnya yang baru dinaik taraf. Kalau ke Tanjong Malim atau mahu ke Kuala Lumpur, KKB disinggahi untuk berehat. Di situ banyak institusi pengajian. Ada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Darul Qurannya (di Ampang Pecah) selain pusat latihan bomba, komando dan beberapa infrastrukturnya.
RAWANG BYPASS
Yang diperlukan di KKB jika isu pembangunan diketengahkan, ia lebih kepada aspek penyelenggaraan supaya mudah direntasi ke Bukit Fraser dan Cameron Highlands. Suatu ketika lewat 1970an dan awal 1980an, KKB direntasi jurulatih sohor, Karl Heinz Weigang dan Frank Lord untuk membawa pasukan Harimau Malaya yang layak ke Olimpik Moscow serta menghampiri pusingan kelayakan Olimpik berlatih di altitud tinggi di Bukit Fraser.
KKB jauh dari hiruk pikuk kota. Sesuai untuk tempat kediaman dengan banyak kedai minang, kedai mamak lama ala tahun 70an dan 80an serta satu dua restoran mamak ‘moden’..
Pembangunan biarpun tidak ‘memuncak’ atau seperti mana takrifan di luar KKB ‘tampak’ dengan bangunan tinggi dan pusat beli-belahnya, namun dari segi infra, pembangunan tidak diabaikan. Felda Soeharto dan Felda Sungai Buaya itulah pembangunan. Kebanyakan orang KKB tinggal di situ. KKB dekat dengan Tanjong Karang dan Hulu Bernam, sebab itu fokus bukanlah sangat soal kemajuan tampak, biarpun ada parti politik menghentam isu ini.
Masing-masing parti, baik PH dan PH akui tiada pembangunan moden di KKB. Namun nyatanya, Rawang Bypass yang dibuka pada 28 November 2017 sebenarnyalah telah menguntungkan penduduk KKB. Lebuh raya menelan kos RM630 juta menghubungkan Rawang dan Serendah (26km dari KKB) ke Kuala Lumpur itu memendekkan perjalanan dari dua jam menjadi 30 minit sahaja. Dengan kata lain, KKB itulah nadi kawasan Hulu Selangor sehingga tidaklah sampai hendak disediakan pembangunan canggih.
Politik matang berkisar politik pembangunan lebih dekat di KKB. Tidak sehingga bersentimenkan Melayu dan agama. Isu surau atau masjid dikuasai parti tertentu tidak laku di sana. Biarpun ada kawasan Orang Asli yang masih ketiadaan elektrik, ia hanya berpunca akibat logistik yang jauh terpencil. Namun kelmarin Orang Asli tetap memihak kepada PH dengan memberi sekurag-kurangnya 400 undi.
KUDIS
Masyarakat Cina terus dengan kehidupannya. Bangunkan kawasan tanaman sayur. Yang meramaikan tempat pengundian kelmarin adalah Cina tempatan. Kira-kira 63.9 peratus pengundi Cina keluar mengundi berbanding 59.4 peratus Melayu dan India (56.4 peratus). Masyarakat Melayu Minang, Rawa, Banjar serta Cina, India dan Orang Aslinya tiada isu kaum. Hidup harmoni.
Kempen pilihan raya KKB yang mengetengahkan isu-isu nasional antaranya rasuah ‘tak makan’ dek orang tempatan. Apatah pula masing-masing, baik PH mahun PN ada ‘kudisnya’. Biarpun PH dan Barisan Nasional (BN) pula dimomokkan sebagai ‘kahwin paksa’, orang PN juga sedang berantakan. Ini termasuklah ADUN Selat Klang yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari yang terang-terangan menyokong PH. Isu enam ahli Parlimen parti itu pun masih belum selesai.
Realitinya PH menang di KKB kelmarin atas kekuatan bukan ‘tin kosong’. Apabila kempen PRK DUN KKB bertukar momentumnya ke ‘PRK Parlimen’, orang tempatan kebingungan. Kelihatan memang tidak ada yang tidak puas hati dengan pembangunan di KKB. Kalau ada pun berkaitan isu-isu penyelenggaraan. Ada dua, tiga stesen minyak, pejabat pos dan sebelah petang atau hujung minggu main golf di sana barangkali itu sudah mencukupi. Hendak dibangunkan kondominium pun elok dibawa ke Bukit Sentosa sana sahaja.
Barangkali sehebat mana pun orang politik bercakap, perlu tahu ‘sempadan kita’. Andai kata DAP letakkan calon Melayu kelmarin, kemungkinan kalah dalam tangan pasti kerana tiada jaminan Cina memberi undi. Dan terbukti bacaan dan percaturan itu berbaloi bila mana dua kawasan majoriti Melayu di KKB kelmarin berjaya dirampas DAP.
KKB tidak kisah siapa mendiang Lee Kee Hiong, dia Pang Sock Tao kah atau siapa calon DAP, PKR atau Amanah, asalkan calonnya orang dalam kerajaan.
Lainlah jika KKB itu kawasan Lim Guan Eng, Anthony Loke atau Nga Kor Ming, mungkin lain cerita dan kisah kempennya. – UTUSAN










