MUKADIMAH
DALAM kerjasama politik baharu yang dijalinkan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), sudah pasti wujud beberapa pertindihan yang harus diselesaikan sebelum pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi. PRN adalah ujian pertama bagi menguji kekuatan masing-masing sama ada kerjasama politik ini benar-benar diterima rakyat atau sebaliknya.
Di Terengganu tidak terlepas daripada ‘pergeseran’ antara PH dan BN yang masih lagi tergantung serta menunggu keputusan daripada pucuk kepimimpinan parti memuktamadkannya.
Ikuti temubual eksklusif wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, DATUK SERI AHMAD SAID berhubung isu ini.
UTUSAN: Apakah wujud suasana tidak harmoni antara BN dan PH di Terengganu?
AHMAD SAID: Tiada masalah, tetapi biasalah mereka nak pertahan apa yang mereka inginkan, kerusi-kerusi yang nak ditandingi itu. Kita ini bertanding bukan nak glamor, tetapi nak menang, buat apa bertanding kalau kalah? PH perlu ingat perkara itu. Banyak lagi jawatan lain, ada jawatan senator yang boleh diberi, ada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang lain. Sekarang ini kita perlu fokus untuk menang dulu.
Tidak berterus-terangkah dengan pimpinan PH tentang keadaan sebenar untuk menghadapi PRN?
Kita sudah maklumkan kepada PH. Negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu ini ada peluang untuk menang dan di sini orang hanya kenal UMNO serta Pas. Orang tidak berapa mengenali PH. Lagi pun jentera kita sudah buat kerja berbelas tahun, ada calon yang juga sudah berbelas tahun berkhidmat untuk rakyat di sini. Tiba-tiba datang calon daripada parti lain untuk jadi bidang terjun, mestilah jentera kita ‘sentap’. Kalau cakap kasar, berapa cawangan dia ada? Kita dah kerja lima tahun. Tetapi kita serahkan keputusan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan sebaiknya dan semua pihak perlu akurlah dengan keputusan itu.
Kenyataan Ahli Majlis Pimpinan PKR Terengganu, Azan Ismail sedia menyokong Datuk Seri sebagai poster boy?
Seperti saya kata, saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk tentukan. Boleh bandingkan rekod saya sewaktu Menteri Besar, dengan jambatan, pembangunan yang saya buat. Bandingkan dengan apa yang Abdul Hadi (bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Abdul Hadi Awang) buat. Apa yang rakyat dapat?
Apa yang perlu menjadi fokus pengundi pada PRN kali ini?
Rakyat kena fikir untung rugi dalam politik ini. Apa yang dia dapat kalau undi PN dan apa yang mereka dapat kalau undi kita? PN bukan kerajaan Pusat, susah nak uruskan kebajikan rakyat, ahli Parlimen dapat duit, itu elaun mereka, bukan salurkan untuk rakyat. Tetapi kalau undi PH dan BN, kita adalah kerajaan. Kerajaan negeri dan Pusat boleh berurusan dan selesaikan hal-hal rakyat. Bukankah itu lebih mudah? Itulah untungnya rakyat dan pengundi harus fikir ke arah itu.
Momentum pengundi terhadap PH-BN sekarang?
Sokongan semakin meningkat, sebab itu kita kata ada peluang untuk menang. – UTUSAN











