Kembalikan taring Puteri UMNO bela anak muda

Kembalikan taring Puteri UMNO bela anak muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pergerakan Puteri UMNO kini dilihat seolah-olah hilang taring kerana bukan sahaja tidak mampu mengangkat suara anak muda, malah gagal menarik lebih ramai golongan wanita berusia 18 hingga 35 tahun menyertai parti itu.

Umum mengetahui Puteri UMNO berkeadaan sedemikian berbeza kepimpinan Ketua Puteri UMNO pertama, Datuk Seri Azalina Othman Said yang digeruni bukan sahaja pembangkang tetapi juga ahli parti sendiri kerana beliau dilihat seorang yang amat tegas dalam memperjuang isu rakyat khususnya anak muda.

Kalau adapun sedikit legasi Azalina yang diwarisi ialah Datuk Seri Noraini Ahmad dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dengan kedua-duanya mempunyai sikap ketegasan sama seperti Azalina untuk meletakkan sayap itu setanding Wanita dan Pemuda UMNO.

Bagaimanapun prestasi Puteri semakin merudum sejak Ketua Puteri keempat, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengambil alih kepimpinan sebelum beliau bertindak keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas pemilihan UMNO 2018.

Bahkan penyandang jawatan, Datuk Zahida Zarik Khan turut gagal membawa bahtera Puteri setelah di bawah kepemimpinannya menyaksikan tiada satu wakil sayap itu memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) malah beliau juga kecundang di Parlimen Padang Besar.

Justeru pasca PRU15 yang menyaksikan kekalahan teruk UMNO, Puteri perlu diketuai oleh seorang pemimpin yang berwibawa untuk mengembalikan maruahnya atau jika tidak sayap itu akan terus jatuh untuk selama-lamanya menerusi penghijrahan anak muda kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Peranan Puteri UMNO sangat bermakna kerana ia dapat menarik ramai golongan remaja untuk menyertai UMNO. Mereka dengan mudah dapat memberi kerjasama dalam pelbagai aktiviti di peringkat cawangan dan bahagian hinggalah ke pusat.

Oleh demikian, tumpuan kini terarah pada proses pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di bahagian dan pusat termasuk Ketua Puteri yang bermula hari ini.

Terdapat lima nama yang disebut-sebut dijangka menawarkan diri iaitu Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Khaidirah Abu Zahar dan Naib Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi manakala Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan; Exco Pergerakan Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Dr. Masliha Harun pula sudah sah mengumumkan bertanding jawatan ketua sayap berkenaan.

Jika melihat kelima-lima individu berkenaan, hanya nama Khaidirah atau lebih popular dengan panggilan Dira dikenali apabila beliau sebelum ini merupakan seorang pelakon di samping Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Bagaimanapun populariti Dira sebagai selebriti belum menjamin beliau mampu mencipta kemenangan, begitu juga Nurul Amal yang kini merupakan orang nombor dua Puteri.

Tiga nama lain iaitu Nurul Hazwani, Fadwah dan Dr. Masliha meskipun tidak dikenali, namun tidak boleh menafikan peluang mereka untuk memenangi kerusi Ketua Puteri kerana mungkin mendapat tempat dan disenangi akar umbi sayap tersebut.

Tanpa menyebut nama, terdapat calon-calon dikatakan dibayangi kem-kem tersebut seperti kem Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; kem Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kem Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang digantung keahlian selama enam tahun.

Di samping itu, terdapat calon-calon dibantu oleh keluarga mereka yang merupakan pemimpin UMNO.

Namun segala-galanya terserah kepada ahli Puteri pada 11 Mac ini bagi menentukan siapakah Ketua Puteri dan barisan kepimpinan yang layak kerana faktor populariti dan bayangan kem tertentu belum tentu menjamin kemenangan.

Berbaki kurang sebulan lagi, semua calon bertanding perlulah mempunyai perwatakan seorang pemimpin yang boleh mengembalikan zaman kegemilangan Puteri ketika era Azalina yang berani menongkah arus dan tidak terus menikus dengan bersikap ‘Yes Bos’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN