MEMASUKI hari keempat kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pertembungan di kerusi yang disifatkan paling hangat di Parlimen Tambun, Perak dilihat belum cukup panas.
Begitupun, bahang dan suasana pilihan raya sudah semakin dirasai di kawasan Parlimen Tambun apabila semua parti yang bertanding sedang rancak memasang bendera parti masing-masing.
Setakat ini, banyak kawasan yang sudah dipasang dengan bendera parti terutama di kawasan tumpuan orang ramai yang sudah dipenuhi bendera ketika ini.
Tinjauan mendapati perang bendera dan poster lebih tertumpu di pekan Tambun, Tanjung Rambutan, Chemor, Chepor, Meru Raya dan Manjoi dan beberapa kawasan lain.
Kempen calon yang bertanding iaitu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan calon Pejuang, Abdul Rahim Tahir juga dilihat belum cukup rancak.
Pada peringkat ini, calon-calon dilihat lebih menumpukan kepada kempen atau pergerakan bersemuka dengan pengundi menerusi program walkabout yang diaturkan oleh jentera kempen parti masing-masing seperti di pasar awam, bersarapan, walkabout di kawasan-kawasan perniagaan selain jentera kempen bergerak meraih undi dari rumah ke rumah.
Ahmad Faizal Azumu dilihat sudah semakin rancak bertemu pengundi selain sesi ceramah pada sebelah malam, juga mengadakan pelbagai program untuk golongan belia.
Bagi ceramah umum secara besar-besaran yang biasanya menghiasi setiap pilihan raya, setakat ini tidak banyak program sedemikian diadakan di Tambun, jika ada pun dalam skala kecil.
Ini mungkin disebabkan pada peringkat awal tempoh kempen, calon lebih selesa dan memilih menggunakan strategi atau pendekatan bersemuka dengan pengundi yang dilihat lebih berkesan untuk meraih undi mereka.
Bagi Anwar, kempen beliau juga dilihat belum cukup menyeluruh di Tambun namun setiap program yang beliau hadiri tetap mendapat sambutan.
Difahamkan, disebabkan tugas beliau sebagai Pengerusi PH, beliau perlu membantu kempen PH di negeri lain ketika ini.
Bagi calon BN, Aminuddin juga dilihat mula meningkatkan kempen termasuk di kawasan pengundi Cina.
Dijangkakan kempen semua calon rancak mulai hari ini apabila difahamkan mereka sudah mempunyai jadual padat kempen masing-masing.
Setakat ini juga kempen di Tambun tiada sebarangan kekecohan atau isu hangat menyelubungi parti dan calon bertanding, jika ada pun sekadar isu calon luar yang dikaitkan dengan tagline ‘ayor bukan ayaq’ .
Cuma Aminuddin mengakui ada pihak cuba menyebarkan fitnah dan menjatuhkan namanya ketika berkempen yang sedikit mengganggu fokusnya.
Dalam sidang akhbar beliau semalam, Ketua UMNO Bahagian Tambun itu berkata, ada yang reka cerita kononnya beliau dan Menteri Besar terlibat dengan penjualan tanah kubur, sedangkan katanya, tanah kubur itu rizab wakaf dan tiada siapa yang boleh jual.
Kempen akan bertukar tempo dalam masa terdekat dengan pertembungan Anwar dan Peja terus menjadi tumpuan.
Dijangkakan semua calon yang bertanding akan menjalankan kempen secara sihat tanpa ada serangan-serangan peribadi sesama mereka untuk memenangi Parlimen Tambun. –UTUSAN










