Calon boleh menang belum cukup buat 'otai' Perlis

Calon boleh menang belum cukup buat ‘otai’ Perlis

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengesahkan mengemukakan sekurang-kurangnya lima calon bagi setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjalani saringan sebelum dipilih bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini.

Azlan yang juga Menteri Besar berkata, setiap nama dikemukakan yang terdiri daripada kombinasi muka lama dan baharu serta pelbagai lapisan usia itu akan disaring dan dipertimbangkan oleh lima pemimpin tertinggi UMNO (Top 5) sebelum dimuktamadkan.

Persaingan menjadi calon tampaknya bukan mudah termasuk bagi nama-nama besar seperti Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) yang perlu bersaing hebat untuk kekal bertanding di kawasan masing-masing.

ZAHIDI ZAINUL ABIDIN

Meskipun sebelum ini Shahidan menyatakan bahawa UMNO Bahagian Arau hanya mengemukakan nama beliau sebagai calon tunggal di kerusi parlimen itu, namun ia masih belum selamat selagi nama calon bertanding belum diputuskan.

Nama seperti Shahidan dan Zahidi yang mempunyai pengaruh cukup kuat bagaimanapun akan disaring bersama calon-calon lain terlebih dahulu dan bakal dipertimbangkan oleh lima pemimpin tertinggi UMNO sebelum dimuktamadkan.

Tidak seperti sebelum ini, PRU15 nampaknya menjadi laluan sukar kepada dua pemimpin itu yang sebelum ini sering kali dikaitkan berbeza pandangan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Adakah mereka masih diberi peluang untuk bertanding atau parti bakal memilih muka-muka baharu di parlimen terbabit.

Sebagai rekod, Shahidan yang sudah lebih 30 dalam tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986, 1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.

Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar pula menguasai Parlimen berkenaan sejak dua penggal lalu iaitu pada Pilihan Raya Umum 2013 dan 2018. Sebelum itu, pada pilihan raya 1999 dan 2004, Zahidi menguasai DUN Beseri.

Meskipun mempunyai rekod cemerlang tidak pernah kalah dalam setiap pilihan raya tersebut selain sebagai calon ‘boleh menang’ PRU15, namun pilihan raya kali ini masih tidak menjamin sama ada mereka terus kekal atau digugurkan.

Di Arau khususnya, jika nama Shahidan digugurkan ia bakal memberi cabaran cukup getir kepada Barisan Nasional (BN) memandangkan beliau sudah cukup sinonim dengan penduduk di kawasan tersebut.

Demikian juga Zahidi, yang masih mempunyai pengaruh yang kuat di Padang Besar.
Apa pun segala keputusan sama ada dua pemimpin tersebut kekal atau sebaliknya terserah kepada kebijaksanaan Top Five UMNO untuk memperhalusi calon-calon PRU15 yang boleh memberi kemenangan kepada BN.

Perlu diingat, setiap Parlimen cukup ‘bernilai’ bagi membantu BN membentuk kerajaan Pusat selepas PRU15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN