Juruterbang New Zealand ditahan pemberontak Papua dibebaskan - Utusan Malaysia

Juruterbang New Zealand ditahan pemberontak Papua dibebaskan

PHILLIP Mehrtens bercakap ketika sidang media di Timika, Papua Tengah.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Juruterbang New Zealand, Phillip Mehrtens, dibebaskan dari tahanan oleh pemberontak di wilayah Papua, Indonesia selepas 19 bulan dijadikan tebusan.

Ketua unit khas yang ditubuhkan untuk menangani pemberontak di Papua, Faizal Ramadhani berkata, Mehrtens dibebaskan oleh pemberontak di sebuah kampung di daerah Nduga kelmarin, sebelum diiringi polis dan tentera ke lokasi selamat.

“Beliau sihat walaupun menghadapi pengalaman trauma. Kami telah menerbangkannya dari Nduga ke Timika,” katanya.

Jelas Faizal, Mehrtens juga menjalani pemeriksaan perubatan dan psikologi sebelum diterbangkan ke Timika.

Kerajaan New Zealand yang mengesahkan pembebasan itu berkata, Mehrtens berada dalam keadaan baik dan sudah bercakap dengan keluarganya yang menetap di Wellington.

“Kami gembira dan lega. Mehrtens selamat dan sihat serta telah berhubung dengan keluarganya,” kata Menteri Luar, Winston Peters.

Mehrtens bekerja untuk syarikat penerbangan Indonesia, Susi Air apabila diculik oleh pemberontak di Lapangan Terbang Nduga pada 7 Februari tahun lalu.

Ketika itu, beliau ditugaskan menyediakan perkhidmatan udara penting dan bekalan kepada komuniti terpencil di Papua.

Pembebasannya dibuat susulan usaha diplomatik oleh Wellington dan Jakarta. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×