Kempen PN lambat 'panas'? - Utusan Malaysia

Kempen PN lambat ‘panas’?

KEHADIRAN lebih ramai pemimpin utama PN dijangka mampu menghangatkan lagi suasana kempen pada PRK DUN Mahkota.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMASUKI hari ketujuh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, suhunya masih belum ‘panas’ sepenuhnya.

Berbanding PRK terdahulu atau Pilihan Raya Umum (PRU), situasi di DUN Mahkota agak berbeza.

Ini kerana suasana kempen masih ‘suam suam kuku’.

Mungkin kerana saingan dalam PRK DUN Mahkota hanya melibatkan gabungan dua parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Jadi, tumpunan hanya kepada dua calon yang dipertaruhkan BN dan PN, iaitu Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dan Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Mungkin suasana kempen lebih meriah sekiranya ada calon daripada parti lain atau Calon Bebas bertanding bagi merebut kerusi tersebut pada 28 September ini.

Berdasarkan pemerhatian beberapa hari lalu, usai hari penamaan calon pada 14 September, kempen-kempen yang dijalankan kedua-dua parti adalah dalam kelompok kecil serta kunjungan dari rumah ke rumah serta tempat awam seperti kedai makan dan pasar.

Ceramah secara besar-besaran membabaitkan pemimpin tertinggi kedua-dua parti masih belum dianjurkan, hanya ceramah secara kecil-kecilan di Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Mungkin belum ada ceramah perdana, suasana kempen belum ‘panas’ dengan pelbagai isu yang dibangkitkan.

Malah, isu-isu yang dibangkitkan, khususnya oleh pihak PN masih berkisar terhadap kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Isu-isu tempatan pula berkaitan kemudahan awam serta banjir yang dialami penduduk.

Bagi BN, kempen yang dibawa ialah pentingnya meneruskan kesinambungan khidmat dan perancangan terdahulu penyandang kerusi berkenaan, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Selain itu, pengundi turut diingatkan bahawa keputusan memilih calon lawan daripada PN tidak akan mampu mengubah dan menggugat kedudukan kerajaan negeri pimpinan BN di Johor yang jelas stabil.

Namun, situasi kempen dijangka semakin hangat pada pusingan ‘terakhir’ menuju hari pengundian pada 24 dan 28 September ini.

Pada 24 September ini ada hari mengundi awal bagi lebih 4,000 pegawai dan anggota tentera serta pasangan mereka di Kem Mahkota serta lebih 400 pegawai dan anggota polis yang bertugas pada hari pengundian 28 September nanti.

Sudah pasti BN dan PN akan mengeluarkan ‘senjata rahsia’ masing-masing bagi menarik sokongan dan undi bagi calon masing-masing, sekali gus memenangi kerusi DUN Mahkota.

Walau apa pun, pemimpin kedua-dua parti diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan atau melakukan provokasi yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hari dan kekacauan sehingga mencemar perjalanan kempen PRK DUN Mahkota yang berlangsung dengan baik dan aman setakat ini.

Ingat, matlamat tidak menghalalkan cara! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×