Pas tak pernah tanam politik kebencian – Hashim Jasin

Pas tak pernah tanam politik kebencian – Hashim Jasin

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas menyifatkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai terdesak apabila menyasarkan parti itu dengan serangan kononnya Pas menanamkan politik kebencian yang disifatkan sangat tidak berasas.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas tidak pernah menanam politik kebencian sebaliknya terus menyeru kepada semangat perpaduan ummah yang terbuka kepada semua.

Katanya, Pas di bawah ke­pemimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak menyeru kepada perpecahan sebaliknya mengajak kepada politik kebaikan dan kebajikan Islam.

“Kita faham Saifuddin dia sebagai Menteri Dalam Negeri banyak tekanan, jadi dia hendak lepaskan tekanan dengan menjadikan Pas sebagai sasaran untuk serangan.

“Sekali kita tegaskan, Pas ti­dak pernah menanamkan politik kebencian. Kenyataan Saifuddin itu adalah sangat tidak berasas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Semalam, Saifuddin berkata, Pas hari ini telah menyimpang jauh dari perjuangan asal diasaskan oleh tokoh-tokoh se­perti Tan Sri Nik Aziz Nik Mat, Prof. Dr Zulkifli Muhammad, Dr Burhanuddin Al Hilmi, Datuk Fadzil Mohd. Noor dan Yusuf Rawa.

Katanya, Muktamar Tahunan ke-70 Pas yang berlangsung minggu lalu didakwa mencatat sejarah dan kemuncak politik kebencian parti itu yang membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam kalangan masyarakat.

Ia susulan kenyataan Abdul Hadi dalam ucapan dasar mendakwa pentadbiran keraja­an Perpaduan seperti mene­rus­kan agenda sebagaimana golo­ngan munafik pada zaman awal Islam di Madinah.

Sementara itu, Hashim ber­kata, setiap pemimpin pasti­nya mempunyai pendekatan berbeza yang tidak boleh disamakan dengan kepemimpinan sebelum ini namun dasar Pas sama sekali tidak pernah berubah.

“Dasar kita tidak pernah berubah, mungkin pendekatan ada yang berbeza selari dengan perkembangan semasa. Setiap pemimpin dia mempunyai cara masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×