TOKYO: Perdana Menteri Jepun yang baharu akan dilantik secara rasmi oleh Parlimen pada 1 Oktober ini, selepas pemilihan kepemimpinan Parti Demokratik Liberal (LDP) diadakan minggu depan.
Tinjauan menunjukkan tiga calon utama untuk menggantikan Fumio Kishida sebagai Ketua LDP dalam undian dalaman pada 27 September ini.
Mereka ialah Menteri Keselamatan Ekonomi, Sanae Takaichi, 63; bekas Setiausaha Agung LDP, Shigeru Ishiba, 67, dan anak bekas Perdana Menteri, Junichiro Koizumi, 43.
LDP, parti yang memerintah selama beberapa dekad, memegang majoriti di Parlimen, bermakna pemenang pemilihan parti pada dasarnya dijamin untuk dilantik perdana menteri.
Ahli Parlimen LDP, Yasakazu Hamada memberitahu rakan pembangkang bahawa parti itu merancang untuk mengadakan sesi parlimen pada 1 Oktober untuk memilih perdana menteri baharu.
Kishida, 67, terpalit pelbagai skandal dan berdepan kemerosotan sokongan pengundi dalam tinjauan pendapat, mengumumkan peletakan jawatan bulan lalu.
Tinjauan media berbeza di Jepun meletakkan Takaichi, Ishiba dan Koizumi di hadapan, walaupun ini tidak menjamin salah seorang daripada mereka akan menjadi pemenang akhir.
Dalam pemilihan itu, setiap daripada 367 ahli parlimen LDP akan mengundi, dan 367 lagi akan ditentukan berdasarkan pilihan ahli parti serta penyokong biasa.- AFP










