KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota memasuki hari kelima hari ini.
Setakat ini kempen yang melibatkan dua calon bertanding berjalan lancar dan dalam keadaan harmoni. Malah, setakat ini tiada kejadian yang tidak diingini berlaku atau kekacauan dilaporkan.
Bangsa Johor memang terkenal dengan kebaikan. Inilah kempen cara Johor, sentiasa berhemah.
Nyata, semua pihak, khususnya parti yang bertanding, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tetap mendukung proses demokrasi yang berlangsung untuk memilih wakil rakyat baharu bagi DUN Mahkota.
Malah, menurut polis Johor, setakat kelmarin sebanyak 13 permit ceramah telah dikeluarkan kepada kedua-dua parti yang bertanding.
Adatlah dalam politik, setiap parti ada strategi masing-masing untuk meraih sokongan dan undi.
Bagi pihak kerajaan negeri pimpinan BN yang menampilkan Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon, agenda yang dibawa adalah ingin mempertahankan kerusi tersebut.
Seperti yang dinyatakan ramai pemimpinnya, termasuk Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kemenangan calon BN penting bagi meneruskan kesinambungan agenda pembangunan yang dirancang penyandang kerusi tersebut, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
Apabila wakil rakyat daripada parti yang sama, sekali gus mempunyai agenda yang seiring, sudah pasti perancangan dan pembangunan yang ingin dibawa lebih mudah.
Namun, bagi pihak PN, nyata antara isu yang dibangkitkan tentang masalah banjir kilat di beberapa kawasan di DUN Mahkota.
Pihak PN berjanji akan mengangkat rungutan orang ramai itu ke peringkat pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri sekiranya wakil mereka, Mohamad Haizan Jaafar atau lebih popular dengan panggilan ‘Coach Haizan’ dipilih pada 28 September ini.
Selain itu, isu ‘nasional’ seperti kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup turut ‘didendang’ untuk menarik sokongan dan undi.
Hujah yang diberikan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menangani isu-isu tersebut dengan baik.
Natijahnya, rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang kian meningkat, apatah lagi nilai mata wang ringgit yang lemah berbanding mata wang asing, khususnya dolar Amerika dan Singapura.
Justeru, isu-isu bersifat ‘nasional’ terus mendominasi kempen PRK DUN Mahkota.
Namun, apakah isu-isu tersebut mampu mempengaruhi arah sokongan dan undi, hanya para pengundi DUN Mahkota yang menentukan.
Apa yang diharapkan, pelbagai isu yang dibangkitkan tidak mencetuskan ketegangan dan kekacauan sehingga mengganggu-gugat ketenteraman perjalanan proses pilihan raya berkenaan. – UTUSAN











