SEJAK Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), negara kita buat pertama kali berhadapan dengan ketidakstabilan politik yang serius hingga menyaksikan tidak ada pemimpin dan parti yang mampu bertahan memerintah negara lebih daripada dua tahun.
Tumbangnya Barisan Nasional (BN) selepas 60 tahun lebih berada di tampuk pemerintahan, menjadi negara buat pertama kali berhadapan dengan huru-hara politik.
Pakatan Harapan (PH) dilihat menjadi alternatif kepada BN apabila mereka menang bergaya pada PRU14, dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad diangkat menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.
Ingat panas hingga ke petang, rupanya ribut dan badai sudah melanda belum sempat mencecah tengah hari. Pergolakan dalaman yang diikuti dengan Langkah Sheraton telah menumbangkan kerajaan PH pimpinan Dr. Mahathir selepas hanya 22 bulan iaitu dari 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020
Dari situ bermulalah siri pentadbiran kerajaan yang diberi dengan bermacam-macam gelaran seperti ‘kerajaan tebuk atap’ dan ‘kerajaan pintu belakang’ bermula dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil alih jawatan itu pada 1 Mac 2020.
Pentadbiran Muhyiddin juga tidak bertahan lama apabila melepaskan jawatan pada 21 Ogos 2021 dengan hanya 17 bulan menjadi Perdana Menteri.
Dari 21 Ogos 2021, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri Ke-9, sebelum beliau membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang sekali lagi menyaksikan tidak ada parti yang memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan.
Hasilnya atas nasihat Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan Perpaduan dibentuk hasil gabungan PH, BN dan Gagasan Rakyat Sarawak (GRS) dan Gabungan Parti Sabah. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2011 sebagai Perdana Menteri Ke-10 atau turut dikenali sebagai PMX.
Walaupun di awal pentadbiran Anwar terdapat pelbagai gelora dan badai politik termasuk ugutan dan dakwaan memiliki akuan bersumpah serta sebagainya, namun kerajaan ini telah bertahan untuk mengembalikan kestabilan politik negara sedikit demi sedikit.
Walaupun kestabilan itu belum dicapai sepenuhnya, tetapi pentadbiran PMX sedikit sebanyak telah mengembalikan keyakinan terutama pihak luar terhadap Malaysia.
Dan ternyata, selepas era PRU14 atau selepas tewasnya BN pada 2018, Anwar telah menjadi Perdana Menteri yang paling lama mentadbir negara iaitu satu tahun sembilan bulan 22 hari (sehingga semalam 14 September) atau selama 661 hari ini.
Sebelum ini yang paling lama memerintah selepas 2018 ialah Dr. Mahathir selama satu tahun sembilan bulan 15 hari atau 656 hari.
Walaupun pelbagai kritikan dilemparkan kepada PMX dan barisan Kabinetnya, seperti gagal menunaikan janji berkaitan tol dan harga minyak, namun itu tidak bermakna selama 661 di bawah pentadbiran beliau langsung tiada pencapaian.
Diakui ketika di bawah Muhyiddin dan Ismail Sabri negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, namun ketika Anwar mula mengambil alih pemerintahan juga, kesan Covid-19 itu bukan sahaja masih ada dalam kalangan rakyat tetapi juga ekonomi negara.
Ekonomi bergerak perlahan, pengangguran tinggi, lepas universiti tiada kerja, ringgit lemah hampir mencecah RM5 bagi setiap dolar di samping pasaran saham tidak stabil.
Tetapi ramai yang lupa bahawa situasi negara tidak akan berubah selagi suasana politik kita tidak stabil.
Dari ketika Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri kali kedua, zaman Muhyiddin hingga ke Ismail Sabri, politik tidak pernah stabil. Setiap hari ada saja orang bercakap tentang SD dan mahu tukar kerajaan.
Begitu juga ketika di awal-awal pentadbiran PMX, SD dan tukar kerajaan adalah perkataan yang sering terngiang-ngiang di telinga. Ada saja cabaran yang menggugat kestabilan. Mengatasinya pula bukan satu proses yang mudah. Walau siapa atau parti mana yang memerintah, kestabilan ada prasyarat utama bagi membolehkan kerajaan memberi fokus kepada kerja-kerja pemulihan.
Jika politik kucar-kacir, huru-hara dan terumbang-ambing tiada siapa boleh fokus kepada pentadbiran. Sebab itu, sepatutnya semua pihak henti dulu berpolitik dan fokus untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat sebagai persiapan untuk Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekitar tahun 2027. Ketika itu, siapa yang cemerlang pasti akan dipilih rakyat.
Di sebalik pelbagai cabaran dan gugatan yang dialami, Anwar sedikit sebanyak berjaya mengatasi ketidakstabilan ini dan memberi keyakinan kepada pelabur luar untuk kembali ke Malaysia.
Ini kita boleh lihat pada prestasi mata wang kita – ringgit – yang menjadi mata wang di rantau ASEAN yang paling stabil kini. Selain nilai ringgit makin mengukuh, Bursa Malaysia juga telah menunjukkan prestasi memberangsangkan, Walaupun ia belum mencapai angka seperti mana sebelum 2018, namun setakat ini ia memberi petunjuk bahawa ekonomi negara berada di landasan yang betul untuk pemulihan.
Begitu juga dengan pelaburan asing. Memang ada satu dua syarikat yang membatalkan hasrat untuk melabur di negara kita, tetapi yang meneruskan pelaburan, yang memberikan pelaburan baharu serta yang berminat masih banyak.
Contohnya, di Taman Teknologi Kulim, kapasitinya kini boleh dikatakan hampir penuh dengan Infineon menjadi tonggak utama. Walaupun Kedah ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN), ia tidak menghalang untuk pelabur masuk yang sudah tentu kestabilan dan keyakinan kepada negara secara keseluruhan menjadi faktor kehadiran mereka.
Sebab itu, berilah peluang kepada kerajaan untuk mentadbir. Jangan ganggu pentadbiran negara dengan hal-hal remeh yang akhirnya akan menjejaskan keyakinan orang luar kepada kita.
Malaysia bukan negara pemodal seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan atau China. Kita perlu bergantung kepada pemodal-pemodal dari luar. Mereka tidak akan datang jika asyik bertukar kerajaan.
Apapun kerajaan PMX nampaknya sudah bertahan untuk tempoh yang cukup panjang selepas PRU14. Diharapkan ia adalah terjemahan keyakinan kepada kerajaan untuk menerajui negara hingga ke pilihan raya akan datang.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.










