Kasih sayang ibu bapa adalah anugerah yang tiada tolok bandingannya.
Ia adalah cinta yang tulus dan tanpa syarat, diberikan dengan rela hati demi kebahagiaan anak-anak. Namun, ada kalanya kasih sayang itu menjadi ruang untuk anak-anak mengambil kesempatan.
Minggu ini saya kongsikan kisah seorang anak yang sepatutnya menyayangi dan menghargai pengorbanan ibu bapa memilih untuk menyalahgunakan kepercayaan dan kasih sayang insan mulia ini.
Kisah ini diceritakan sendiri oleh Ima (bukan nama sebenar) dalam kiriman emel kepada saya baru-baru ini. Memperkenalkan diri sebagai jiran rapat kepada si ibu, Arifah (bukan nama sebenar), tulisnya, dia merupakan tempat wanita berusia 65 tahun itu meluahkan perasaan.
“Saya tidak berniat membuka aib sesiapa. Sebaliknya, perkongsian ini lebih kepada memberi pengajaran kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa di luar sana,” tulisnya dalam emel tersebut.
Ima berkata, setiap kali pertemuan dengan Arifah, wanita itu kelihatan kepenatan dan menyimpan sesuatu yang terpendam.
Sesekali Arifah meluahkan perasaan sedih dan kecewa apabila anak-anaknya mengambil kesempatan terhadap kebaikan dan pengorbanan suaminya.
“Saya pernah menasihatkannya berterus-terang dengan anak-anak, namun sehingga ke hari ini tiada apa-apa perubahan.
“Daripada seorang, sehingga ke hari ini dia menjaga empat orang cucu.
“Tidak sampai hati, kesian antara alasan yang diberikan setiap kali saya cuba memberi nasihat kepadanya,” tulis Ima.
Dalam emel itu lagi, tulis Ima, Arifah merupakan jiran sebelah rumahnya sejak 30 tahun lalu.
Arifah seorang surirumah tangga, manakala suaminya, Munir (bukan nama sebenar) bekas kakitangan awam. Pasangan itu mempunyai lima orang anak. Ketika anak sulung mereka menyerahkan cucu untuk dijaga, kehidupan pasangan ini berubah.
Dari kebebasan yang dinikmati di usia senja, kini mereka terpaksa kembali kepada rutin melelahkan.
Di tengah keletihan dan kesibukan melayan cucu-cucu yang memerlukan perhatian, dia tidak sedar cinta dan tanggungjawab kepada suami menjadi semakin terpinggir.
Pada saat kecurangan suaminya terbongkar, dia dihimpit kesedaran bahawa dalam menjalankan tanggungjawab kepada anak-anak dan cucu-cucunya, dia telah kehilangan cinta yang selama ini ada di sisi.
Kemuncak kepada kisah Arifah selepas anak bongsunya, Rena, (bukan nama sebenar) bercerai pada Februari tahun ini.
Menurut Ima, Rena terpaksa kembali ke pangkuan ibunya kerana tidak mampu menguruskan anak-anak sendirian. Menyambung cerita, kata Ima, ketika Rena kembali ke rumah, Arifah menyambutnya dengan tangan terbuka meskipun hatinya berat.
Dia tahu, bahawa dia perlu membantu anak dan cucu-cucunya yang sedang melalui masa-masa sukar.
Sejak itu, kehidupan Arifah dipenuhi dengan tugas-tugas yang mungkin lebih sesuai dengan wanita yang muda. Dia terpaksa bangun seawal subuh untuk menyiapkan sarapan untuk cucu-cucunya.
Walaupun kepenatan, Arifah tidak pernah mengeluh.
Baginya, itu adalah sebahagian tanggungjawab sebagai ibu dan nenek.
Namun lama kelamaan, Rena seolah-olah mengambil kesempat di atas kebaikan ibunya. Rena mula meninggalkan anak-anak selama beberapa hari dengan alasan kerja di luar daerah.
Bahkan, tidak pernah menawarkan bantuan untuk membantu ibunya. “Saya bukan mahu campur tangan rumah tangganya, namun hati saya benar-benar sedih.
“Sepanjang tempoh menjaga cucu-cucu, sahabat saya pernah beberapa kali jatuh sakit.
Anak-anak hanya menunjukkan simpati sekejap sahaja.
Selepas kembali sihat, mereka menjalani rutin harian sama menghantar anak-anak untuk dijaga ibu sendiri,” tulisnya lagi. Kisah ini memberi pengajaran kepada kita yang kasih sayang orang tua bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan atau disalah guna.
Seorang anak harus sedar, yang kasih sayang ibu bapa adalah kurniaan yang perlu dihargai dan dibalas dengan kasih sayang dan rasa hormat yang setimpal.
Di sebalik senyuman seorang ibu dan kesabaran seorang bapa, ada hati terluka yang mungkin disembunyikan. Sesungguhnya berbakti kepada orang tua adalah perkara wajib dilakukan oleh setiap anak.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” – ( Al-Nisa ayat 36)










