MIC jangan di takuk lama - Utusan Malaysia

MIC jangan di takuk lama

ANBUMANI BALAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIC memerlukan perubahan seiring dengan keadaan politik semasa bagi memastikan nasib dan hak masyarakat India di negara ini terus terbela.

Penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan berkata, parti pimpinan Tan Sri S.A. Vigneswaran itu harus konsisten dalam usaha membela nasib orang India menyorot sikap MIC yang kelihatan lemah dan tidak berani bersuara walaupun sudah melalui banyak pilihan raya umum sejak 2008.

Beliau berpendapat, MIC masih relevan dalam memperjuangkan nasib masyarakat India tetapi perubahan haruslah bermula dengan pembaharuan dari segi karakter, pemikiran dan kepemimpinan parti.

“Soal jawatan dalam parti tidak lagi penting. Persoalan sekarang ini apakah MIC boleh memainkan peranan mereka di peringkat nasional? Kuasa politik ini sangat penting. Jika MIC hilang kuasa politiknya, maka, MIC gagal mempertahankan hak sekali gus lenyap dari landskap politik negara.

“Sekarang ini pun, banyak parti kecil yang menjadi serpihan. Banyak isu melibatkan orang India seperti kemiskinan, ekonomi, masalah sosial yang gagal diselesaikan.

“Kalau mereka tidak bersatu, macam mana mahu mempertahankan nasib masyarakat India? Jadi, MIC yang harus memainkan peranan dalam memastikan agenda masyarakat ini tercapai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini, Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) memberi bayangan parti itu bersedia mewakili masyarakat India sepenuhnya menggantikan MIC dalam BN untuk memastikan hak dan keperluan mereka diperjuangkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Terdahulu, MIC mengumumkan terus menyokong dan kekal bersama-sama pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga menunggu keputusan muktamad dibuat Dewan Tertinggi BN.

Tindakan MIC meletakkan dirinya dalam dilema kerana menyokong PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada masa sama masih bertindak sebagai parti komponen dalam BN.

Ditanya pendirian MIC sama ada wajar berpihak kepada PN atau BN, kata Anbumani: “MIC nak masuk gabungan mana itu terpulang. MIC kuat atau lemah bukan isunya tetapi masalah dalaman UMNO yang tidak menentu sehingga menjejaskan hala tuju dan masa depan BN.” – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×