PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencapai nilai jualan sebanyak RM149.0 bilion, meningkat 6.7 peratus pada Julai 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan sebanyak 6.7 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan borong dan runcit dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 6.4 peratus kepada RM63.5 bilion.
Katanya, perdagangan borong juga tumbuh 5.5 peratus untuk merekodkan RM66.6 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 12.2 peratus untuk mencapai RM19.0 bilion.
“Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong dan runcit kembali positif 2.1 peratus, disokong oleh kenderaan bermotor yang meningkat 11.6 peratus.
“Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, pertumbuhan 6.4 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 7.7 peratus untuk mencapai RM24.4 bilion,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan lain dalam subsektor ini yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ini adalah jualan runcit bahan api kenderaan (7.1 peratus), jualan runcit di kedai pengkhususan (6.6 peratus) dan jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (6.5 peratus).
“Sebaliknya, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini merekodkan penurunan 1.0 peratus, disebabkan kejatuhan terutamanya pada jualan runcit di kedai pengkhususan (3.8 peratus), jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (1.7 peratus) dan jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (1.3 peratus),” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, Mohd Uzir berkata, kenaikan 5.5 peratus tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh jualan borong jentera, peralatan dan bekalan yang meningkat 10.2 peratus kepada RM5.4 bilion.
“Ini diikuti oleh perdagangan borong tanpa pengkhususan (9.4 peratus), jualan borong barangan isi rumah (8.2 peratus), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (8.1 peratus) dan jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (7.7 peratus).
“Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong naik 2.6 peratus, terutamanya disokong oleh jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (5.3 peratus), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (5.0 peratus) dan lain-lain pengkhususan jualan borong (2.9 peratus),” ujarnya.
Mohd Uzir berkata, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 12.2 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Julai didorong oleh jualan kenderaan bermotor yang merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.0 peratus.
“Selain itu, jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal meningkat 12.9 peratus, diikuti oleh penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor serta jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor dengan peningkatan masing-masing sebanyak 10.5 peratus dan 9.6 peratus.
“Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini kembali positif 11.6 peratus berbanding bulan sebelumnya,” jelasnya.
Bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini bertumbuh 5.7 peratus tahun ke tahun pada Julai 2024 berbanding 4.8 peratus pada Jun 2024.-UTUSAN










