DALAM dunia kecantikan yang semakin kompetitif dengan lambakan produk di pasaran, hanya wanita berwawasan, berani dan berdaya saing mampu meletakkan jenama mereka di kedudukan tertinggi.
Menempa nama dalam industri kecantikan dan mampu meraih jualan sehingga melebihi RM50 juta dalam tempoh tujuh tahun bukanlah suatu perjalanan yang mudah.
Meskipun memiliki latar belakang pendidikan yang jauh berbeza, pengasas Kayman Beauty, Fatin Nabila Khairul Anuar, 32, membuktikan bahawa dengan motivasi dan keberanian, beliau mampu berjaya dalam bidang yang diceburi.
Lebih mesra dengan panggilan Bella, gadis ini anggun menggayakan busana serba hitam sewaktu ditemubual bersama Seri baru-baru ini.
Fatin Nabila berkata, anak muda perlu berani mengambil risiko meneroka bidang keusahawanan.
Katanya, usah gentar berdepan pesaing malah menganggap ia sebagai cabaran untuk membawa jenama ke peringkat tertinggi.
“Sebenarnya tiada sesiapa yang boleh menghalang kita daripada berjaya melainkan dirinya sendiri.
“Sehingga kini, saya percaya halangan terbesar dalam perniagaan itu adalah diri kita sendiri,” katanya.
Berkongsi mengenai sasarannya dalam bidang perniagaan, Bella berhasrat untuk mengembangkan jenama Kayman ke pasaran luar dan memastikan produknya diterima baik di peringkat global.
“Saya percaya dengan usaha keras ini, jenama saya akan melangkah lebih jauh dan tidak lama lagi bakal menembusi pasaran Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam,” katanya.
Mengulas mengenai persaingan dalam dunia perniagaan, kata Fatin Nabila persaingan adalah lumrah dalam dunia perniagaan dan bukan isu yang perlu ditakutkan.
“Bersainglah secara sihat. Setiap jenama ada keistimewaan dan keunikan tersendiri. Lihatlah cabaran itu sebagai pengajaran dalam hidup dan teruskanlah berusaha sedaya upaya yang boleh,” katanya.
Ujarnya, beliau selesa untuk bekerja secara ‘diam-diam’ tanpa terlalu mengejar populariti demi melariskan produknya.
Mengambil perspektif yang berbeza daripada usahawan lain, beliau yakin populariti bukanlah keutamaan untuk jenamanya kekal relevan dalam industri.
“Saya tidak kisah kalau tidak dikenali asalkan jenama dan kualiti produk saya hasilkan mendapat tempat dalam pasaran,” katanya.
KAHWIN MUDA
Sering kita dengar wanita perlu berdikari terutama dalam mengharungi dunia yang serba mencabar ini.
Namun Fatin Nabila tetap mengakui ada masanya wanita tidak mampu menempuhi segalanya sendirian.
“Benar, wanita tidak digalakkan untuk bergantung sepenuhnya terhadap lelaki.
“Secara realistiknya, kita hanya manusia yang mempunyai batas. Ada kalanya, memang kita juga memerlukan bahu untuk bersandar.
“Tanpa suami, Amirul Siddiq dan keluarga, saya mungkin tidak mampu berdiri sekuat ini sebagai wanita berkerjaya.
“Memilih untuk mendirikan rumah tangga di usia muda juga salah satu sebab untuk memudahkan kami memulakan perniagaan bersama.
“Jadi, kejayaan yang saya kecapi hari ini adalah kerana seorang insan yang bergelar suami. Pelbagai rintangan kami lalui bersama, daripada tiada apa-apa sehingga berjaya mempunyai sebuah empayar perniagaan,” katanya.
WANITA KENA JAGA KULIT

Menjalani kehidupan harian di persekitaran yang terdedah kepada pelbagai pencemaran menjadikan penjagaan kulit wajah bukan lagi sekadar pilihan sebaliknya adalah satu keperluan.
Wanita asal Sungai Petani, Kedah, ini berkata, kulit sihat bukan sahaja mampu meningkatkan keyakinan diri malah berfungsi sebagai pelindung badan daripada pelbagai unsur luar yang boleh menjejaskannya.
Tegasnya, pengguna tidak harus terpengaruh dengan pengiklanan, sebaliknya pemilihan produk haruslah disesuaikan dengan jenis kulit agar kesannya efektif sekali gus memastikan kulit mendapat perlindungan dan penjagaan optimum.
“Sebelum ini saya sering buat ulasan mengenai produk penjagaan kulit tetapi kebanyakannya dari luar negara.
“Pada ketika itu, produk penjagaan kulit jenama tempatan masih kurang di pasaran dan masih ramai yang tidak ada pengetahuan tentang betapa pentingnya penjagaan kulit dalam rutin harian.
“Jadi bermula daripada situ, saya ambil pendekatan untuk hasilkan jenama yang dapat memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kewajipan menjaga kulit selain mengubah persepsi masyarakat terhadap produk tempatan,” katanya.
SAINS KECANTIKAN
Bercerita mengenai figura yang menjadi inspirasinya dalam dunia perniagaan dan kecantikan, Bella mengagumi pengasas Glow Recipe iaitu Sarah Lee dan Christine Chang yang berasal dari Korea.
Kata Fatin Nabila, kejayaan dan kesungguhan pasangan duo itu dalam menaikkan jenama mereka ke persada dunia, membuka matanya untuk melebarkan sayap ke pasaran yang lebih besar.
“Ilmu pengetahuan mereka tentang dunia kecantikan sangat terperinci dan ia mendorong saya untuk belajar dengan lebih mendalam tentang sains kecantikan khususnya daripada segi penjagaan kulit wajah.
“Ini selari dengan matlamat jenama saya untuk membantu pengguna mengekalkan kulit sihat, cantik dan berseri.
“Tak cukup dengan itu, kegigihan mereka dalam mendidik masyarakat tentang penjagaan kulit wajah juga sangat menginspirasikan,” jelasnya.

MINAT BELAJAR
Sebelum mengusahakan perniagaan ini, Bella pernah menyambung pengajian di peringkat sarjana di institusi pengajian tinggi (IPT).
Namun pengajiannya terkandas di tengah jalan kerana kekangan kewangan apatah lagi ketika itu baru mendirikan rumah tangga.
“Saya sempat belajar selama setahun sahaja tetapi terpaksa berhenti sebab tak boleh nak bayar yuran.
“Niat untuk menghabiskan pengajian masih ada cuma ketika ini, masa tidak menyebelahi. Tetapi saya akan pastikan impian untuk memiliki segulung ijazah dapat dicapai kelak,” katanya.
Sementara itu, dalam kesibukan kerjanya, wanita ini berkongsi minatnya yang gemar melancong dan meneroka keindahan negara luar.
Antara destinasi pernah dilawati ialah Turkiye, Korea, Jepun, China dan Indonesia.
“Selain dapat meluangkan masa dengan keluarga, saya juga dapat inspirasi untuk menghasilkan produk baharu apabila makan angin ke negara orang,” ujarnya.
PENCINTA HAIWAN
Walaupun belum memiliki cahaya mata tetapi kehidupan wanita ini diserikan dengan kehadiran lima ekor anak bulus peliharaannya.
Haiwan itu menjadi peneman kala sunyi di samping penghibur ketika berduka. Meskipun kucing dibela mempunyai pelbagai ragam namun beliau tetap menyayangi setiap seekor seperti anak sendiri.
“Kasih sayang ini mencerminkan betapa pentingnya hubungan emosi antara manusia dan haiwan dalam memberikan kebahagiaan dan sokongan kepada kedua-duanya.
“Kasih sayang saya terhadap Hikari, Leo, Myo, Bobo dan Joji tidak berbelah bahagi,” katanya merujuk kepada kucing kesayangannya.










