Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID dan NOOR HASLIZA NUSI
PETALING JAYA: “Jika mereka rindukan ayah, datanglah cari saya, bukan saya yang pergi dekat mereka. Sebagai manusia, saya memang memaafkan mereka tetapi kesan daripada apa yang mereka lakukan masih terpahat sehingga kini.
Itulah luahan bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 63, yang memilih untuk hidup bergelandangan di kaki lima berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang sejak Mei tahun lalu selepas `dibuang’ anak-anaknya.
“Ayah mana yang tidak rindukan anaknya apatah lagi yang diasuh, dibela sejak lahir serta menguruskan perkahwinan mereka. Saya pasrah dengan apa yang berlaku setelah masing-masing membawa haluan sendiri sejak tiga tahun lalu.
“Mereka tahu saya di sini tetapi langsung tiada satu kelibat mahupun usaha untuk menjenguk apatah lagi dalam bulan Ramadan. Ini merupakan Ramadan kali kedua saya tinggal di sini,” kata Din kepada wartawan Utusan Malaysia.
Dia berkata, keputusan meninggalkan kediaman sewanya di Ipoh, Perak tahun lalu dibuat kerana berkecil hati dengan perbuatan anak-anaknya yang didakwa langsung tidak mempedulikannya termasuk menjenguk arwah isterinya ketika masih hidup.
Kisah hidup Din adalah sebahagian daripada realiti yang berlaku dalam masyarakat sekarang yang sanggup mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa yang dianggap menyusahkan sehingga sanggup membiarkan mereka hidup melarat tanpa jagaan.
Sementara itu, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan bilangan penghuni rumah perlindungan orang tua, Rumah Seri Kenangan yang penuh menunjukkan wujudnya peningkatan masyarakat yang sanggup `membuang’ ibu bapa masing-masing kerana enggan memikul tanggungjawab.
Masalah komunikasi, berkelakuan degil dan agresif, rasa curiga, enggan dibantu, gangguan daya ingatan, kecacatan anggota serta tidak dapat bergerak antara punca warga emas terbabit diabaikan dan tidak dikehendaki oleh waris mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Fatimah Zuraidah Salleh berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana golongan terbabit terlalu bergantung kepada anak-anak mereka bagi meneruskan kehidupan harian.
“Nyanyuk, sakit, tidak boleh berdikari di samping anak-anak terbeban dengan masalah kewangan antara punca warga emas `tidak dikehendaki’ dan `dibuang’ begitu sahaja.
“JKM pernah menyelamatkan warga emas yang ditemui ditinggalkan di tepi jalan, surau, hotel dan juga stesen bas,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, mengikut kajian, satu daripada 10 warga emas di bandar berisiko menjadi mangsa pengabaian berbanding satu daripada 20 bagi di kampung.
Menurut Fatimah, pada tahun lalu, pihaknya mengesan 273 kes warga emas diabaikan termasuk empat kes mangsa menjadi mangsa dera ahli keluarga.
“Pengabaian warga emas berumur 60 tahun dan ke atas dikelaskan kepada lima kategori iaitu secara fizikal, psikologi, kewangan, sosial dan seksual. Pengabaian secara fizikal itu termasuk perbuatan membuang golongan tersebut.
“Dalam kes pengabaian, ada anak membuang ayah hanya disebabkan nyanyuk selepas pembahagian harta pusaka, ada pula yang meninggalkan ibu lumpuh di hotel dan tidak kurang yang meninggalkan di rumah orang tua,” kata beliau.
Fatimah berkata, warga emas yang tidak dikehendaki ahli keluarga `diselamatkan’ JKM dan mereka diletakkan di Rumah Seri Kenangan di seluruh negara.
“Mereka ini diberi penjagaan dan perlindungan demi menjamin kesejahteraan serta kualiti hidup walaupun sudah memasuki usia emas,” kata
Menurut beliau, sebagai persediaan Malaysia mencapai status negara tua pada 2030, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam tindakan merangka draf Rang Undang- Undang (RUU) khusus melindungi hak warga emas dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun depan. – UTUSAN










