KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli menuntut barisan Exco kerajaan negeri lebih agresif dalam portfolio masing-masing selepas memasuki dua tahun pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan bakal berlaku rombakan Exco jika ada keperluan dalam tempoh terdekat.
Katanya, beliau sedar ada Exco yang menunjukkan prestasi cukup baik, ada juga yang masih kurang memberangsangkan meskipun sudah memasuki tempoh dua tahun pentadbiran.
“Kalau nak kira prestasi ini, saya boleh bagi markah sederhana dan kita perlu lebih agresif lagi. Mungkin ada keperluan kita akan buat rombakan Exco jika perlu.
“Saya menyedari benda ini berlaku (Exco menunjukkan prestasi baik dan kurang memberangsangkan) dan insya-Allah walaupun prestasi agak rendah, kita masih lagi bersama-sama untuk meningkatkan prestasi.
“Pertamanya, pengalaman. Pengalaman ini agak kurang dan kita perlu bergerak bersama untuk pastikan prestasi makin baik. Rombakan kemungkinan itu ada, insya-Allah,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas desas-desus beliau ingin meletak jawatan sebagai Menteri Besar, Pesuruhjaya Pas negeri itu menyifatkannya sebagai mainan politik musuh untuk mengganggu gerak kerja pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau dalam masa sama menegaskan sedikit pun tidak terkesan dengan polemik letak jawatan tersebut dan akan terus memberi fokus kepada pentadbiran.
“Saya duduk dalam parti, apa-apa pun saya rujuk kepada parti. Sekiranya parti berkehendakkan saya turun daripada jawatan ini, saya akan turun. Itu benda biasa.
“Saya tidak terlampau terikat dengan jawatan ini. Apabila diberi amanah, saya akan buat sebaiknya dan jika diminta untuk turun, saya akan turun. Saya ikut arahan. Dalam Pas kena ada walak (taat) kepada pemimpin,” katanya. – UTUSAN










