KUALA NERUS: Sebanyak 67 ekor anak penyu spesies agar dilepaskan ke perairan Laut China Selatan di Pulau Redang, dekat sini, kelmarin, sebagai simbolik sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, tahun ini.
Pelepasan anak penyu itu dilakukan 15 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Redang dengan kerjasama Unit Penyelidikan Penyu (Seatru) Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Selain upacara simbolik itu, murid-murid didedahkan dengan perkongsian ilmu maritim dan kenegaraan oleh sukarelawan dan petugas Seatru.
Seorang peserta Kem Si Penyu Merdeka, Nur Afrina Batrisya Hasrol Nizal, 12, berkata, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan.
“Sebelum ini sambutan kemerdekaan dibuat di sekolah dengan pertandingan basikal berhias dan baju patriotik tapi kali ini kami dapat melepaskan anak penyu ke pantai.
“Seolah-olah ia sudah bebas untuk kembali ke habitat asal mereka dan itu juga maksud merdeka,” katanya ketika ditemui di Pantai Chagar Hutang, Pulau Redang.
Menurut guru SK Pulau Redang, Azlinawati Deraman, program itu diisi dengan persembahan drama pahlawan, nyanyian lagu patriotik serta aktiviti di pantai.
“Ini kali pertama kami melihat penyu bertelur dan berpeluang melepaskan anak penyu di pantai yang menjadi kelainan dibuat pihak sekolah sempena hari kemerdekaan ke-67.
“Selain menyemai semangat patriotik, murid juga boleh belajar ilmu tentang kepentingan usaha pemuliharaan spesies penyu di Pulau Redang,” jelasnya. –UTUSAN










