JPJ ambil tindakan ke atas 2,736 bas persiaran, ekspres

JPJ ambil tindakan ke atas 2,736 bas persiaran, ekspres

Aedy Fadly Ramli memberi amaran JPJ akan terus menggandakan operasi untuk memastikan keselamatan penumpang bas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 2,736 bas persiaran dan ekspres diambil tindakan penguatkuasaan atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang 2023 hingga Julai lalu.

Tindakan kompaun, saman serta sita itu dilaksanakan selepas pemeriksaan ke atas 62,711 kenderaan sepanjang tempoh terbabit.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, bagi tempoh 2023 sehingga Julai lalu, sebanyak 960 bas persiaran dan 1,776 bas ekspres dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Katanya, jumlah itu membabitkan pelbagai operasi dijalankan JPJ antaranya Op Hari Raya Aidilfitri, Op Tahun Baharu Cina, Op Kenderaan Perdaga­ngan, Op Kenderaan Komersial serta Op Khas Bas Persiaran dan Ekspres.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 231 kesalahan membabitkan le­sen memandu, lesen vokasional (219) serta lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans (255).

“Kira-kira 432 lagi berkaitan kesalahan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), memotong barisan secara bahaya (19), memotong di garisan berkembar (11), tidak mematuhi lampu isyarat (13), menggunakan telefon bimbit (23) dan memandu di lorong kanan secara berbahaya (41).

“Selain itu, sebanyak 817 lagi membabitkan kesalahan teknikal dan 928 lain-lain ke­salahan antaranya ingkar notis, tiada buku log, tatakelakuan memandu atau gagal patuh isyarat lalu lintas,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Aedy, pihaknya memandang serius terhadap bas ekspres dan persiaran yang me­langgar undang-undang.

Kata beliau, susulan itu, sebanyak 4,924 notis dikeluarkan membabitkan 2,812 notis bagi sepanjang tahun lalu manakala 2,112 untuk tujuh bulan ini.

“Kita juga menyita 25 bas membabitkan tiga bas henti-henti, bas pekerja (8), bas sekolah (4) dan bas persiaran (10).

“Sebanyak 141 syarikat bas persiaran dan ekspres yang telah diperiksa melalui audit Unit Pemeriksaan dan Kawalan Kenderaan Perdagangan (JISA) dalam tempoh terbabit.

“Daripada jumlah itu, seba­nyak 25 syarikat bas gagal melalui audit JISA apabila 23 syarikat telah digantung lesen pengendali dan permit, dibatal lesen pengendali serta diberi surat amaran masing-masing satu,” ujarnya.

Tegasnya, JPJ akan mempergandakan operasi dan penguatkuasaan di seluruh negara secara berterusan.

“Kita memberi amaran keras kepada semua pemandu dan pengendali bas persiaran serta bas ekpres yang JPJ tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan penumpang bas di atas jalan raya,” tegas beliau.

Pada 1 Julai lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, JPJ akan mengadakan operasi bersepadu besar-besaran terhadap bas persiaran di seluruh negara.
Katanya, langkah tersebut bagi mengesan sebarang salah laku dan ketidakpatuhan undang-undang yang dilakukan operator bas persiaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×