GEORGE TOWN : UMNO boleh menjadi parti dominan semula andai parti itu diterima serta diyakini oleh generasi muda.
Keyakinan itu disuarakan veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berdasarkan situasi serta prestasi semasa UMNO selepas berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Mohd. Yussof berkata, situasi sekarang berbeza ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana ketika itu, pelbagai tohmahan dilemparkan kepada UMNO sehingga menjejaskan sokongan rakyat terutama generasi muda terhadap parti berkenaan.
”Sekarang ini nampaknya situasi berubah sedikit dan UMNO perlu lebih berusaha untuk menawan kembali hati orang muda agar kembali menyokong UMNO.
“Sekiranya perkara ini dapat dilakukan, UMNO pasti boleh menjadi sebuah parti yang dominan dan mampu mendapat dua pertiga majoriti dalam kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Beliau mengulas mengenai ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) yang menyatakan bahawa UMNO akan mempertahan kedudukan Islam dan hak orang Melayu, tetapi ahli-ahli perlu sedar realiti bahawa UMNO bukan parti dominan dalam kerajaan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, parti keramat Melayu itu akan kekal pada prinsip dan perjuangannya meskipun ketika ini menjalin kerjasama politik dengan parti-parti lain.
Mengulas lanjut, Mohd. Yussof berkata, UMNO mempunyai tempoh masa kira-kira dua tahun untuk memastikan sokongan pengundi muda memihak kepada parti itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan.
“Masa dua tahun yang ada ini perlu digunakan sebaiknya oleh para pemimpin bagi mendekati rakyat serta berkhidmat kepada mereka,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pemimpin UMNO juga perlu bermuhasabah dan mengadakan satu perbincangan secara terbuka dengan para veteran UMNO bagi mendengar pandangan para veteran untuk memulihkan semula UMNO.
“Para veteran UMNO adalah individu yang sentiasa ada bersama ahli akar umbi, kami sentiasa berada di bawah dan mendengar suara rakyat.
“Jadi, pemimpin UMNO ada baiknya berbincang bersama-sama para veteran, bermuhabasah dan membaiki semula UMNO dengan mengambil kira pandangan semua pihak,” katanya.-UTUSAN










